DAP Sabah rayu pembangkang sokong usul pindaan perlembagaan

Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin (duduk, 2 dari kanan) dengan ketua Wanita DAP kebangsaan, Chong Eng (duduk, 2 dari kiri) dan ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang (kiri).

KOTA KINABALU: DAP Sabah hari ini merayu ahli Parlimen pembangkang dari Sabah dan Sarawak supaya berhenti bermain politik, sebaliknya menyokong rang undang-undang untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha DAP negeri itu, Chan Foong Hin berkata, ahli Parlimen Sabah seperti pemimpin pembangkang Jeffrey Kitingan (Keningau) dan timbalan presiden PBRS Arthur Kurup (Pensiangan) bermain politik dengan menghadiri majlis pelancaran PPBM negeri itu semalam, tetapi pada masa yang sama menolak usul pindaan itu di Dewan Rakyat.

“Mereka pergi dan mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Mereka menunjukkan kemesraan politik kepada pemimpin pakatan politik pemerintah.

“Justeru mereka seharusnya menghentikan serangan tidak berfaedah terhadap usul pindaan itu, sebaliknya membantu wakil Sabah seperti Menteri Undang-undang, Liew Vui Keong, membawa pindaan itu sehingga ia diluluskan.

“Kita perlu perbetulkan kesilapan lampau,” kata Chen, yang merupakan ahli Parlimen Kota Kinabalu.

“Saya harap Jeffrey, Arthur dan yang lain akan kembali (ke Dewan Rakyat) bagi menyokong bacaan kali ke-2 dan ke-3 rang undang-undang itu Selasa depan.”

Ramai ahli politik Sabah menyifatkan rang undang-undang tersebut sebagai “tidak mencukupi”.

Chan berkata, kegagalan meluluskan rang undang-undang itu akan membawa kesan buruk ke atas rundingan mengenai hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pindaan itu bertujuan mengakaskan pindaan sebelum ini pada 1976 yang menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai salah satu daripada 13 negeri di Malaysia.

Ahli politik di 2 negeri ini mahu dikembalikan klausa sebelum 1976 yang tidak menyenaraikan Sabah dan Sarawak bersekali dengan negeri-negeri Malaya.

Chan yang meminta sokongan mereka berkata, tidak mudah bagi Liew meyakinkan anggota Kabinet supaya menyetujui pindaan itu.

Jika usul pindaan itu gagal diluluskan, maka “akan berakhirlah semua jawatankuasa MA63”, katanya.

“Jawatankuasa MA63 masih menjalankan kerjanya dan lebih banyak pindaan akan dibuat. Sangat sukar untuk mendapatkan konsensus dalam perkara melibatkan Sabah dan Sarawak,” katanya.

DAP Sabah mengadakan konvensyen sayap Wanitanya hari ini, yang menyaksikan pembantu menteri undang-undang dan hal ehwal anak negeri, Jannie Lasimbang mempertahankan jawatannya sebagai ketua Wanita, dengan ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual sebagai timbalan.