Dividen rendah: PAS bimbang pendeposit TH tarik diri

TH digesa berusaha memulihkan keyakinan pendeposit walaupun ia bukan agensi pelaburan.

PETALING JAYA: PAS berkata pengumuman hibah Tabung Haji (TH) yang rendah sebanyak 1.25% bagi tahun kewangan 2018 membimbangkan jika pendeposit akan menarik diri.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sekiranya perkara itu berlaku ia akan meruncingkan lagi keadaan TH.

“Kita faham situasi yang berlaku di TH dan usaha yang diambil oleh kerajaan.

“Kebimbangan kita ialah hibah yang terlalu rendah ini akan menyebabkan pendeposit menarik diri dari TH,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, TH mengumumkan hibah sebanyak 1.25% bagi tahun kewangan 2018. Ia jauh lebih rendah berbanding 6.25% bagi 2017.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof berkata dividen berjumlah RM913 juta akan memberi manfaat kepada hampir 9.3 juta pemegang akaun yang aktif.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata apapun TH mesti berusaha memulihkan keyakinan pendeposit walaupun ia bukan agensi pelaburan kerana mereka menyimpan untuk mendapatkan situasi menang-menang.

Katanya, antara usaha yang TH boleh lakukan adalah mencari jalan bagi menfaatkan hotel yang ada sama ada di Mekah, Madinah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Hotel KLIA untuk disewakan kepada agensi umrah berlawanan dengan tawaran istimewa.

“Tawaran ini gagal dimanfaatkan semaksima, bila ia hanya digunakan pada musim haji sahaja dan oleh agensi TH.

“Tawaran dengan harga rendah akan menarik syarikat dari Malayaia untuk menginap di hotel TH sepanjang tahun,” katanya.

Tuan Ibrahim juga berharap pendeposit terus menyimpan dengan TH kerana sebarang kegagalan TH akan melumpuhkan satu lagi institisi orang Islam seperti yang dikehendaki pihak tertentu.