Hubungan kaum makin renggang selepas PH menang, kata Tok Mat

Mohamad Hasan berkata keretakan hubungan antara kaum meletakkan Malaysia dalam bahaya dari segi struktur fabrik sosial.

SEREMBAN: Hubungan antara kaum semakin renggang selepas pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, kata Mohamad Hasan.

Calon Barisan Nasional DUN Rantau itu tidak menolak ia berpunca daripada kegagalan pemimpin PH mempamerkan corak kepimpinan yang mantap biarpun sudah mencecah 11 bulan memerintah, termasuk tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

Katanya, semua kaum merasa gelisah dan kecewa dengan pentadbiran PH kerana mereka mengharapkan kehidupan lebih baik selepas bertukar kerajaan.

“Keterbukaan kerajaan dalam memberi kebebasan juga menyebabkan segelintir rakyat tidak lagi menghormati antara satu sama lain.

“Rakyat pada PRU14 telah beri kepercayaan kepada PH dengan harapan negara ini akan menjadi sebuah negara lebih cemerlang daripada apa yang pernah dilakukan (BN), tetapi janji-janji yang ditabur hanya janji manis sahaja,” katanya ketika ceramah di Kampung Ulu Lalang, Rantau malam tadi.

Beliau berkata rakyat tidak tenteram dengan hubungan antara kaum yang semakin tegang kerana ia tidak baik bagi negara seperti Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum.

“Kita reka visi iaitu rukun negara selepas terjadinya insiden 13 Mei, kita buat rukun negara tetapi hari ini nampaknya rukun negara entah kemana, undang-undang entah kemana kerana orang sudah tidak hormat undang-undang dan masing-masing bebas melakukan apa sahaja,” katanya.

Bimbang rusuhan kaum

Mohamad juga berkata, keretakan hubungan antara kaum meletakkan Malaysia dalam bahaya dari segi struktur fabrik sosial.

“Kalau ini tidak ditangani dengan baik kita akan terjemumus dalam satu episod yang mana Malaysia akan menyesal, samua kita akan menyesal.

“Sentimen syak mengesyaki, cemburu antara satu sama lain, menghina antara satu sama lain, ini kita perlu hentikan.

“Negara yang satu kaum, satu bangsa, satu bahasa, satu agamapun boleh terjerumus dengan masalah seperti di Iraq, Mesir, Syria, Tunisia, Libya dan Oman, inikan pula negara kita yang ada pelbagai kaum, berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Tambah beliau, jika berlaku perpecahan, negara sukar untuk kembali bangkit.

“Selama 60 tahun lebih kita bina bersama, orang Melayu, Cina dan India dan kaum Sabah dan Sarawak hidup makmur dan saling menghormati, tapi hari ini sebaliknya.”