Isu Lynas: Penganalisis saran pemimpin PH ubah mentaliti pembangkang

Sebelum ini berlaku percanggahan pendapat dalam kalangan anggota Kabinet PH mengenai masa depan Lynas Malaysia. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Pemimpin Pakatan Harapan perlu mengubah mentaliti pembangkang dan mengelakkan diri daripada mengkritik ahli Kabinet secara terbuka, terutama daripada parti sendiri.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff berkata, ia bagi memastikan integriti dan kredibiliti kerajaan terjaga.

“Akhir-akhir ini kita dapat melihat banyak insiden membabitkan menteri PH dikritik oleh ahli Parlimennya sendiri, termasuk yang terbaru Redzuan Md Yusof.

“Tidak manis bila ahli Parlimen PH seperti Wong Tack dari Bentong dan Fuziah Salleh dari Kuantan menegur Redzuan dengan menyebut beliau tidak mempunyai locus standi untuk bercakap mengenai isu Lynas,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas tindakan Fuziah mengkritik Redzuan selepas menteri pembangunan usahawan itu berkata Putrajaya belum membuat keputusan muktamad berhubung penghantaran balik sisa radioaktif Lynas ke Australia, walaupun Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dilaporkan mendakwa sebuah pasukan petugas ditubuhkan kerajaan untuk memudahkan proses itu.

Kamarul Zaman berkata, Redzuan sudah tentu lebih mengetahui daripada Fuziah kerana menteri itu dianggap lebih mengetahui keputusan yang dibuat Kabinet.

“Berbanding Fuziah yang hanya timbalan menteri, Redzuan adalah ahli jemaah menteri yang tahu apa yang diputuskan oleh Kabinet mengenai sesuatu isu, termasuk perkara yang tidak membabitkan kementerian beliau secara langsung.

“Bila Redzuan mendapati kenyataan menteri atau timbalan menteri lain tidak selari dengan keputusan Kabinet, maka sudah pastilah selaku ahli jemaah menteri, beliau bertanggungjawab membetulkan kekeliruan yang berlaku.

Tambahnya, apabila ahli Parlimen biasa seperti Wong Tack atau Fuziah yang meminta Redzuan menutup mulut, boleh mengurangkan penghormatan rakyat kepada mereka.

Kamarul Zaman berkata Fuziah lebih tidak mempunyai locus standi kerana hanya timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sepatutnya bercakap soal agama sahaja.

Katanya, Wong Tack dan Fuziah tidak perlu terikut-ikut dengan sentimen semata-mata kerana mereka lantang memperjuangkan isu Lynas sewaktu bergelar pembangkang dahulu kerana selaku kerajaan kini, mereka ada saluran untuk bersuara.

“Redzuan sekadar menjelaskan apa yang berlaku dalam Kabinet sahaja yang masih belum membuat apa-apa keputusan mengenai soal penutupan Lynas.

Beliau berkata, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri mendedahkan Kabinet belum membincangkan kaedah pelupusan sisa radioaktif Lynas maka terbukti apa yang dikatakan oleh adalah Redzuan betul.

Semua menteri, katanya, mempunyai tanggungjawab bersama untuk menjelas dan mempertahankan keputusan Kabinet tanpa perlu timbul soal locus standi untuk bercakap, apatah lagi bila isu yang diperkatakan membabitkan pembangunan negara.

“Sebaliknya, mereka yang berada di luar Kabinet sepatutnya merujuk kepada ahli Kabinet sebelum membuat apa-apa penyataan umum bagi memastikan pernyataan itu tidak bercanggah atau mendahului keputusan Kabinet,” katanya.