Kenapa ada pihak mahu laga-lagakan kerajaan dengan Raja-raja?

Dalam ucapannya ketika sidang akhbar menarik balik penyertaan Malaysia dalam Statut Rom, Dr Mahathir berkata antara sebab ia dibuat adalah kerana wujudnya pihak yang cuba melaga-lagakan Raja-raja dengan kerajaan.

Kasihan kerajaan yang baru menjangkau umur setahun. Diasak kiri kanan, depan belakang. Kalau tak kuat, pasti dah tumbang.

Apa tidaknya? Dahlah ia mewarisi negara yang hampir bobrok. Hutang keliling pinggang. Makin digali makin dalam lobangnya. Kes SRC International baru nak masuk mahkamah. Kes 1MDB entah bila lagi.

Tiba-tiba rakyat menerima mesej tular Tabung Haji (TH) menyorokkan kerugian RM10 bilionnya. Hibah atau dividen yang pencarum terima sejak 3 tahun dulu tidak mengikut Akta TH, iaitu dari keuntungan, tetapi dari duit pencarum. “Tidak patuh syarie”?

Mana yang nak dibetulkan? Mana yang nak dipulihkan? Belum lagi nak membangun semula ekonomi negara dan sejahterakan hidup rakyat. Terlalu jauh. Amat jauh!

Dahlah digasak pembangkang, diboikot penjawat awam tali barut Umno, difitnah “lebai” siang malam di masjid dan Surau. Kini ada satu tangan ghaib yang nak melaga-lagakan kerajaan dan Raja-raja pula.

Semua orang tahu bahawa 124 buah negara menandatangani Statut Rom, termasuklah negara beraja seperti Jepun, UK dan negara Timur Tengah.

Siapakah tangan ghaib itu? Apakah motif sebenarnya? Apakah benar dakwaannya bahawa Statut Rom akan menjejaskan hak orang Melayu, menggugat institusi Raja-raja Melayu dan mencabar kesucian Islam di Malaysia?

Puaslah hati tangan ghaib itu bila kerajaan menarik balik Statut Roman. Apakah beliau fikir dengan itu, PBB tidak akan campur tangan jika berlaku pembunuhan etnik, jenayah kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Janganlah mimpi pada siang hari! Lihat sahaja kes pencorobohan yang berlaku di Vietnam, Kuwait dan Libya serta perang rekaan dan penipuan di Iraq dan sebagainya.

Benarlah kata Dr Mahathir bahawa penarikan diri itu bukan kerana bahayanya Statut Rom kepada negara, tetapi lebih kerana politik.

Ini kerana rakyat begitu mudah ditipu, terlalu senang dipermainkan emosinya dan bertindak bertentangan dengan kepentingan rakyat dan kerajaan.

Langkah ini sebenarnya hanyalah untuk meredakan keadaan supaya kerajaan mempunyai ruang dan masa untuk membangunkan negara.

Ini bukan pusingan U yang calang-calang! Pusingan U ini bukan pula menunjukkan kerajaan sedia ada lemah. Pusingan U ini perlu supaya rakyat menolak semua polemik politik dan bersama kerajaan membangunkan negara.

Rakyat baru sahaja berubah. Rakyat baru sahaja memperolehi keberanian. Rakyat baru sahaja memperbetulkan dan memperkasakan jati diri.

Dengan jati diri itu, rakyat berani menolak kerajaan Umno/BN yang korup dan terbukti banyak menyalahgunakan kuasa dalam pemerintahannya dulu.

Tapi kita tidak mahu bersikap berani dan jati diri rakyat tersasar serta terpesong hingga menjadi racun yang boleh membantutkan usaha pembinaan semula negara.

Moga tangan ghaib itu berani tampil di pentas politik jika ia benar mahu berpolitik. Moga rakyat cepat matang dan tidak mudah terpengaruh dan dibonekakan oleh tangan ghaib yang berselindung di balik kain yang jarang.

Yunus Tasim adalah pembaca FMT.

Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.