Kerajaan PH keliru, bertindak melulu, tanda tangan Statut Rom, kata Zahid

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

PETALING JAYA: Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak boleh sama sekali menyalahkan mana-mana pihak apabila ia membuat keputusan untuk menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom.

Presiden Umno itu berkata, tindakan itu tidak dikelirukan oleh sesiapa, tetapi kerajaan sendiri yang keliru dan bertindak secara melulu menurunkan tanda tangan untuk mempersetujui ratifikasi statut berkenaan sebelum ini.

“Kegagalan pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi penerangan yang jelas serta mendapat mandat terlebih dahulu, terutamanya daripada Parlimen dan perkenan Majlis Raja-raja serta Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menjadi punca kepada desakan supaya dibatalkan ratifikasi itu,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau, hari ini.

Pada 5 April lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom yang dikritik pelbagai pihak, termasuk istana Johor.

Dr Mahathir berkata, Kabinet membuat keputusan menarik diri daripada triti antarabangsa itu bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, bukan kerana ia memudaratkan negara atau tunduk kepada desakan pihak tertentu

Menteri Luar Saifuddin Abdullah menjelaskan bahawa Jemaah Menteri membuat keputusan itu berdasarkan prosedur yang betul dalam proses meratifikasi Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Saifuddin berkata Jemaah Menteri juga membuat keputusan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam menandatangani perjanjian antarabangsa itu.

Zahid berkata andaian dan tindakan mengheret institusi Raja-raja Melayu dengan gambaran seolah-olah ia mudah dipengaruhi pihak tertentu untuk menentang kerajaan adalah tuduhan yang tidak berasas dan salah.

Zahid berkata, beliau secara peribadi berpendapat penarikan diri itu tidak merugikan kerajaan.

“Ini keputusan sama yang turut diambil oleh Amerika Syarikat, Israel dan Sudan yang tidak meratifikasi dan seterusnya keluar daripada menjadi negara anggota Statut Rom,” katanya.

ICC ditubuhkan pada 2002 dan ditadbir mengikut Statut Rom yang berfungsi sebagai pelengkap undang-undang sedia ada di Negara Pihak bagi mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa seperti terkandung dalam Artikel 5 statut berkenaan, iaitu pembunuhan etnik, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan pencerobohan.

Sebanyak 124 negara menjadi Negara Pihak kepada Statut Rom sehingga 4 Mac lalu, termasuk negara beraja seperti Jepun, United Kingdom dan Jordan.