Kesilapan pemimpin PH punca pelabur jual saham TH, kata Najib

Najib berkata, paling menyedihkan ialah propaganda PH menyerang BN pada suku ke-4 tahun lepas sehingga memakan diri dan akhirnya membawa kepada kemusnahan TH.

PETALING JAYA: Kejatuhan nilai aset Tabung Haji (TH) pada 2018 khususnya pada suku ke-4 berpunca daripada kesilapan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) hingga menyebabkan para pelabur lari, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib berkata, pada suku ke-4 tahun lalu, aset TH jatuh sebanyak RM5.4 bilion dan defisit sebenar TH pada akhir tahun 2018 adalah RM10.9 bilion yang disebabkan kejatuhan nilai saham, bukannya RM11.9 bilion seperti dilakukan kerajaan PH menerusi “creative accounting”.

“Paling menyedihkan ialah propaganda PH pada suku ke-4 tahun lepas untuk menyerang BN hingga memakan diri dan akhirnya membawa kepada kemusnahan TH.

“Ia adalah langkah Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan hutang Malaysia tiba-tiba menjadi RM1 trilion hingga menyebabkan para pelabur lari pada masa itu,” katanya di Facebooknya, hari ini.

Pada 5 April lalu, TH mengumumkan agihan hibah atau bonus bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25% melibatkan jumlah agihan RM913 juta kepada semua pendeposit. Kadar hibah itu merupakan agihan terendah dalam sejarah.

Ia membangkitkan pelbagai reaksi kurang senang daripada kalangan pemimpin pembangkang. Bahkan ada yang menuduh agihan hibah TH pada kadar 1.25% itu mencerminkan kegagalan kerajaan PH mentadbir negara.

Bukan itu sahaja, Najib mendakwa tindakan pimpinan PH yang mendedahkan maklumat berkaitan TH juga menyebabkan agensi kewangan itu berada pada kedudukan bahaya.

Ia disusuli kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Mujahid Yusof Rawa memaklumkan pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 hingga menyebabkan defisit RM4.1 bilion.

“Pada 11 Disember 2018, saya sudah menyoal langkah PH berbuat demikian dan memberi amaran bahawa ini adalah langkah kurang bijak dan tentu akan membahayakan TH,” katanya.

Jelas Najib, kebimbangan terhadap tindakan pimpinan PH itu terbukti benar apabila media perniagaan pada 14 Disember tahun lalu mendedahkan pelabur sudah mula menyebarkan senarai saham dimiliki TH supaya mereka senang menjualnya.

“Oleh itu, pelabur jual saham tersebut beramai-ramai dan menyebabkan harga saham dan nilai aset TH jatuh lagi sebelum ia ada peluang untuk jual.

“Akibatnya, saham yang dimilik TH mengalami kejatuhan nilai paling teruk untuk bulan Disember 2018 sehingga defisit TH melonjak menjadi RM10.9 bilion.

“Bukan itu sahaja, pencarum TH juga menarik diri akibat propaganda PH apabila jumlah nilai caruman jatuh RM500 juta dari RM76 bilion kepada RM75.5 bilion pada suku ke-4 TH,” katanya.