Lewat siap 17 bulan, pembeli rumah PR1MA Rantau tidak kena caj tambahan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bertemu pembeli rumah PR1MA Rantau ketika melawat projek itu hari ini.

SEREMBAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan tiada caj tambahan dikenakan kepada pembeli Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Rantau susulan kelewatan projek itu siap.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, projek itu akan siap pada Mei 2020 selepas 17 bulan lewat daripada tarikh siap sepatutnya pada Januari 2019.

“Tiada kos. Cuma pihak pembeli, apa-apa projek lewat, mereka boleh minta kadar denda dan ganti rugi ditetapkan (LAD). Bila projek dah siap rumah cantik boleh tinggal boleh bincang dengan saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan ditapak projek berkenaan di Taman Ekar, di sini hari ini.

Zuraida berkata, projek perumahan itu melebihi tempoh siap asal yang ditetapkan adalah disebabkan kontraktor sebelum ini mengalami masalah kewangan.

Dalam perkembangan sama, Zuraida membetulkan kenyataan beliau awal pagi tadi untuk mencari kontraktor baru, sebaliknya memaklumkan akan mengekalkan kontraktor sedia ada.

“Pagi tadi saya bagi kenyataan kita dah dapat kontraktor penyelamat untuk projek ini, tapi saya semak balik dengan pihak lembaga PR1MA.

“Pagi tadi saya semak dengan satu orang sahaja. Untuk mengelakkan komplikasi perundangan jadi PR1MA memutuskan untuk meneruskan dengan kontraktor sama, tetapi dengan pemantauan lebih rapi,” katanya.

Awal pagi tadi, Zuraida berkata, pihak kementerian akan meneruskan projek PR1MA Rantau dan dijangka siap pada Mei 2020.

Semalam, FMT melaporkan lebih 600 pembeli projek PR1MA di Rantau meluahkan rasa kecewa apabila rumah mereka masih belum siap.

Pembeli terbabit menuntut penjelasan pihak berwajib berhubung status pembinaan projek tersebut.

Mereka berkata, pihak Perbadanan PR1MA Malaysia serta KPKT perlu membuat penjelasan kerana pembeli sudah mula membayar ansuran pinjaman perumahan masing-masing.