PM tepat dalam menilai, Anwar jawab pujian Dr M

Anwar Ibrahim hadir program ramah mesra dengan pengundi PRK Rantau di Kampung Segga Hilir, hari ini.

SEREMBAN: Anwar Ibrahim berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tepat dalam membuat penilaian mengenai kepimpinannya yang dikatakan lebih baik berbanding bekas perdana menteri, Najib Razak.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, jika dilihat dari aspek pengurusan dan kerugian kewangan negara, Najib merupakan pemimpin paling teruk yang belum pernah direkodkan dalam sejarah kepimpinan negara.

“Saya kira kupasan Dr Mahathir tepat,” katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra bersama pengundi pilihan raya kecil DUN Rantau di Kampung Segga Hilir, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mahathir yang mengatakan kepimpinannya lebih baik berbanding Najib.

Menurut Mahathir, beliau memutuskan untuk bekerjasama dengan Anwar kerana Najib tidak boleh lagi dibiarkan memimpin negara.

“Antara Najib dan Anwar, saya fikir Najib adalah pemimpin yang teruk daripada Anwar,” katanya walaupun mereka berseteru pada masa lalu.