Program bayar cukai pengakuan sukarela dilanjut hingga Jun

Setakat 31 Mac, pihak LHDN menerima sebanyak 381,979 pengakuan sukarela berkenaan. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Tempoh fasa pertama Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) dengan kadar penalti 10% daripada jumlah cukai yang dikenakan, akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2019.

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata jemaah menteri bersetuju untuk melanjutkan tempoh tersebut susulan sambutan yang amat menggalakkan daripada kalangan pembayar cukai.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata bagi tempoh setakat 31 Mac lepas, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima sebanyak 381,979 pengakuan sukarela berkenaan.

Fasa ke-2 PKPS dengan kadar penalti 15% daripada jumlah cukai dikenakan pula akan bermula pada 1 Julai 2019 dan tamat pada 30 September 2019.

“Mulai 1 Oktober 2019, kadar penalti sebanyak 45% ke atas akan dikenakan bagi mana-mana kesalahan tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) serta bagi kesalahan melaporkan cukai pendapatan yang berkurangan.

“Kerajaan berharap dengan lanjutan tempoh yang diberikan ini, lebih ramai pembayar cukai akan tampil menyertai PKPS bagi membolehkan mereka menikmati kadar penalti rendah dan seterusnya dapat mengurangkan bebanan cukai masing-masing,” katanya.

Lim berkata PKPS memberi fokus utama kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara serta mempunyai pendapatan yang dijana dari dalam Malaysia namun belum melaporkannya kepada LHDN.

Kerajaan turut mengalu-alukan mana-mana pembayar cukai tempatan yang tidak mempunyai akaun bank di luar negara untuk membuat apa juga pengakuan secara sukarela berhubung punca pendapatan dari dalam Malaysia dan masih belum dilaporkan.

Beliau berkata, pengakuan sukarela pembayar cukai kategori individu boleh dibuat sehingga pendapatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 manakala bagi pembayar cukai kategori syarikat pula membabitkan pendapatan sehingga tempoh perakaunan 31 Mac 2018.

“LHDN juga akan menerima setiap pengakuan sukarela dengan suci hati dan tindakan audit serta siasatan tidak akan dilakukan terhadap pengakuan tersebut,” katanya.

LHDN akan turut mengeluarkan surat pengesahan bagi setiap pengakuan sukarela yang diterima.

Surat kesahihan pelaporan cukai secara sukarela juga akan diberikan setakat 2017 untuk individu manakala 31 Mac 2018 untuk syarikat, katanya.

Selain itu, Lim berkata, LHDN juga mematuhi arahan kerajaan pada tahun lepas agar sebarang siasatan dijalankan tanpa ugutan atau ancaman termasuk menghentikan semua serbuan ke atas rumah atau pejabat pembayar cukai dengan diiringi anggota bersenjata dan lengkap memakai topeng muka.

“Sekiranya ada mana-mana pihak mengingkari arahan ini, pihak yang terkesan diminta membuat aduan kepada pihak LHDN atau Kementerian Kewangan,” katanya.