Putrajaya janji PR1MA Rantau siap Mei 2020

Semalam lebih 600 pembeli projek PR1MA di Rantau meluahkan rasa kecewa apabila rumah mereka masih belum siap.

SEREMBAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini mengumumkan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Rantau akan diteruskan selepas kementerian tersebut berjaya menemui kontraktor baru bagi menyelamatkan projek terbengkalai itu.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata projek perumahan itu melebihi tempoh asal yang ditetapkan disebabkan kontraktor sebelum ini mengalami masalah kewangan.

“Memang projek ini lewat 3 bulan. Situasiya akan dipulihkan balik dan teruskannya sehingga Mei 2020.

“Jadi, KPKT sudah dapat mengenalpasti kontraktor penyelamat, kerana kontraktor pertama ada masalah kewangan dan akan memulakan kerja secepat mungkin,” katanya dalam sidang media khas berhubung pembinaan rumah PR1MA di Bandar Sri Sendayan, hari ini.

Semalam, FMT melaporkan lebih 600 pembeli projek PR1MA di Rantau meluahkan rasa kecewa apabila rumah mereka masih belum siap.

Pembeli terbabit menuntut penjelasan pihak berwajib berhubung status pembinaan projek tersebut.

Mereka berkata, pihak Perbadanan PR1MA Malaysia serta KPKT perlu membuat penjelasan kerana pembeli sudah mula membayar ansuran pinjaman perumahan masing-masing.

Zuraida menjelaskan, projek itu sepatutnya siap dibina pada 31 Januari 2019 yang terdiri daripada 766 unit rumah iaitu sebanyak 201 unit rumah satu setengah tingkat dan 566 rumah 2 tingkat.

“Setakat ini unit yang telah dijual adalah sebanyak 80% iaitu 620 unit. Mereka yang dah beli rumah, sudah mula (buat) bayar ansuran,” katanya.

Zuraida juga tidak menafikan apabila ditanya adakah projek tersebut dihentikan disebabkan pihak PR1MA tidak membuat bayaran kepada pemaju.

Bagaimanapun, Zuraida tegas mengatakan beliau sendiri akan mematau perjalanan projek itu dari masa ke masa hingga selesai pembinaannya.

“Saya sendiri akan pastikan bahawa kerja-kerja ini akan diteruskan dan dimulakan,” katanya.