Saya dijual 7 kali, kata pelarian Rohingya

Pelarian Rohingya, Ziaur Rahman berkongsi kisah yang mengerikan ketika menjadi mangsa penyeludupan manusia.

PETALING JAYA: Seorang pelarian Rohingya, Ziaur Rahman yang ketika itu berusia 20 tahun, diculik ketika dia berjalan di sekitar penempatannya di Bangladesh dan pernah dijual sebanyak 7 kali dalam tempoh lebih 3 bulan.

Katanya, dia diculik oleh individu yang berasal dari kem pelarian tersebut.

“Mereka bercampur antara Bangladesh, Myanmar dan Rohingya. Anda tidak boleh mengenali mereka,” katanya.

Kehidupan begitu getir di kem pelarian di Cox’s Bazaar. “Saya berjalan di sekitar khemah apabila 3 individu datang dan membawa saya ke sungai berhampiran. Mereka mula menendang dan menumbuk saya.”

Tangannya diikat dan dia tidak dapat melawan balik. “Mereka kurung saya selama 3 jam. Saya menangis dan saya takut kerana mereka mempunyai pistol dan mereka berbahaya.”

Akhirnya, penyeludup itu memaksanya masuk ke dalam sebuah bot kecil, di mana dia menghabiskan 3 hari di laut tanpa makanan atau minuman, dan kemudian berpindah ke sebuah kapal besar, di mana dia terdapat antara 300 mangsa pemerdagangan manusia yang lain.

Katanya, dia tahu angka itu, kerana penyeludup membuat kiraan mangsa setiap hari untuk mengetahui berapa ramai yang telah mati dan yang masih hidup.

Mangsa berhimpit antara satu sama lain di dek bawah tanpa tandas, peredaran udara yang lemah dan hampir tidak ada makanan. Pada masa itu mereka terpaksa minum air laut.

“Penyeludup memukul semua orang. Saya fikir ada 5 wanita yang tinggal bersama penyeludup, yang diserang, didera dan diperkosa,” katanya.

Selepas sebulan di laut, Ziaur dan mangsa lain mendarat di Thailand. Mereka dipecahkan menjadi kumpulan yang lebih kecil dan dibawa ke beratus-ratus kem pemerdagangan manusia di seluruh Thailand.

Katanya, dia dan yang lain dipukul, diseksa dengan rotan, dan tempatkan di dalam sangkar kecil.

Mereka juga diperas bagi mendapatkan wang dan ada yang terpaksa menelefon keluarga untuk memindahkan wang kepada penyeludup.

Tambahnya, dia melihat wanita diperkosa di depan matanya. “Beberapa kem tidak ada bumbung, beberapa kem tidak mempunyai sekatan. Pada waktu malam, tidak ada cahaya di dalam hutan,” katanya.

Penyeludup sering bekerjasama dengan pihak berkuasa dan penjaga di tempat perlindungan.

Dia diselamatkan oleh pegawai Thailand yang memindahkannya ke rumah perlindungan di Songkhla, di mana, dia mendakwa, pegawai rumah perlindungan itu terlibat dalam pemerdagangan manusia.

Pada November 2014, dia dibawa ke Malaysia menaiki motosikal oleh 2 lelaki Thailand.

“Selepas beberapa jam, 2 rakyat Malaysia dalam pakaian seragam hijau datang dan membawa saya dengan kereta ke Pulau Pinang. Di sebuah stesen minyak di Pulau Pinang, rakyat Malaysia itu mengambil wang daripada 2 orang Bangladesh, yang kemudian membawanya ke rumah kampung, di mana ada pelarian lain yang diperdagangkan.

Akhirnya, dia melarikan diri, dan meminta sedekah di jalan-jalan sehingga sebuah keluarga Melayu membawanya dan membantu Ziaur pergi ke Kuala Lumpur, di mana dia mendapatkan bantuan daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Saya mahu pulang ke Bangladesh, tetapi mereka tidak dapat membantu saya. Sekarang saya terpaksa tinggal di sini,” katanya.

Ziaur yang kini berusia 25 tahun, berharap tindakan yang lebih tegas akan diambil untuk mengekang pemerdagangan manusia. “Setiap hari ada sahaja orang baru. Ini sindikat besar. Kerajaan Malaysia perlu bekerja keras untuk menyiasat.”

Walaupun dia kini bebas dari cengkaman penyeludup, Ziaur berkata kehidupan sebagai pelarian di Malaysia tidak mudah dengan peluang pekerjaan dan pendidikan yang terhad.