Skandal RM10 juta: Saya sudah dibukti tak bersalah, kata Tok Mat

Mohamad Hasan berkata skandal rasuah RM10 juta tidak sepatutnya dibangkitkan kerana pihak berkuasa sudah membuktikan beliau tidak bersalah.

SEREMBAN: Calon Barisan Nasional DUN Rantau, Mohamad Hasan sekali lagi menafikan tuduhan beliau menyeleweng dana melibatkan pemindahan wang berjumlah RM10 juta ketika menjadi menteri besar Negeri Sembilan.

Mohamad berkata, isu itu tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana pihak berkuasa sudah membuktikan beliau tidak bersalah.

Katanya, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah membuat siasatan.

“Terpulang dia nak buat apa, SPRM sudah buat siasatan dan terpulang kepada pihak berkuasa (untuk melakukan siasatan semula).

“Saya sudah dibuktikan tidak bersalah,” katanya semasa sidang media di Bilik Gerakan Utama BN, DUN Rantau.

Mohamad berkata demikian menjawab isu yang dibangkitkan Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar berhubung skandal RM10 juta.

Zulkefly turut mempersoalkan mengapa SPRM masih belum mengambil tindakan terhadap Mohamad yang didakwa terlibat dalam pemindahan duit melalui pengurup wang.

Zulkefly merujuk kes pada 2008 di mana Mohamad didakwa melanggar undang-undang perbankan dengan memindahkan RM10 juta ke London melalui pengurup wang.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, isu itu ditimbulkan kerana pemindahan itu dibuat melalui “money changer”.

“Tiada penyalahgunaan kuasa atau saya buat sesuatu yang tidak baik, saya beli aset di Londan,” katanya.

Mohamad turut menjangkakan lebih banyak provokasi yang akan dilemparkan terhadapnya pada minggu terakhir kempen pilihan raya kecil Rantau.

“Minggu ke-2, saya jangkakan banyak provokasi dilempar terhadap saya dan BN, saya harap orang ramai dapat bezakan mana betul, mereka dah nak bunuh karektor saya,” katanya.

Isu kenang budi

Mengulas kenyataan Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mempersoalkan niatnya sebagai tidak ikhlas apabila meminta pengundi mengenang budinya semasa beliau menjadi menteri besar, timbalan presiden Umno itu berkata mungkin ketua penerangan PKR itu dibesarkan untuk tidak kenang jasa.

“Saya tak kata kenang jasa. Saya mintak tolong. Kalau dia dibesarkan begitu tak payah kenang jasa. Saya tidak kata untuk kenang budi, saya minta tolong supaya Rantau undi saya. Saya tidak pernah ungkit apa-apa.

“Saya tidak pernah kata pengundi Rantau harus undi saya kerana saya sudah banyak tabur bakti,” kata Mohamad.

Shamsul dalam satu kenyataan semalam berkata, perbuatan Mohamad yang didakwa cuba meraih undi dengan menyenaraikan segala jasa sebelum ini saling tak tumpah seperti apa yang dilakukan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Terpulang kepada Zahid

Mengulas gesaan supaya Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi kembali bertugas, Mohamad berkata beliau menyerahkan kepada ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk membuat keputusan.

“Terpulang kepada Zahid untuk kembali bertugas sebab dia yang bercuti. Kalau dia kata nak balik (ke jawatan presiden) esok pagi, terpulang kepada beliau.

“Sebab terma-terma (Zahid bercuti) tidak ada. Kalau dia rasa sudah cukup rehat. Terpulang kepada beliau,” katanya.