Speaker N Sembilan bangkit skandal RM10 juta babitkan Tok Mat

Zulkefly Mohamad Omar berkata beliau akan bertemu SPRM untuk membangkitkan isu skandal RM10 juta membabitkan Mohamad Hasan. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar membangkit kembali skandal rasuah RM10 juta melibatkan calon Barisan Nasional DUN Rantau, Mohamad Hasan lebih sedekad lalu.

Beliau yang juga pengerusi Amanah Negeri Sembilan mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum mengambil tindakan terhadap Mohamad yang didakwa terlibat dalam pemindahan duit melalui pengurup wang.

“Siapa kata dia orang bersih?

“Saya orang pertama dengan Kamarul Bahrin, ahli parlimen, saya buat laporan polis dan saya juga buat laporan SPRM kerana Mohamad Hasan masa itu bawa duit guna ‘money changer’, sampai sekarang tidak kena tahan,” katanya kata ketika berceramah di Taman Kelab Tunku, Rantau malam tadi.

Hadir sama menerusi pentas ceramah itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Zulkefly berkata, beliau akan bertemu SPRM untuk membangkitkan perkara itu.

“Nanti saya akan jumpa SPRM kenapa tidak tangkap dia, kenapa tidak ambil dia,” katanya.

Zulkefly merujuk kes pada 2008 di mana Mohamad didakwa melanggar undang-undang perbankan dengan memindahkan RM10 juta ke London melalui pengurup wang.

Bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara (AGP) di bawah pemerintahan BN tidak mengambil tindakan terhadap Mohamad.

Perkara itu diumumkan, Menteri Undang-Undang ketika itu, Nancy Shukri yang berkata dana itu bukan hasil rasuah.

“AGC telah meneliti butiran penyiasatan itu. RM10 juta itu bukan hasil rasuah.

“AGC berpendapat lebih sesuai tindakan diambil terhadap pengurup wang itu,” kata Nancy memetik laporan media ketika memberi jawapan di Parlimen pada 2013.

Mohamad sebelum ini beberapa kali menafikan wujudnya salah laku dalam skandal itu.