Statut Rom: Sultan Johor ucap terima kasih kepada kerajaan

Pada 5 April, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom yang ditandatanganinya sebelum itu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar suara rakyat supaya membatalkan perjanjian Statut Rome yang ditandatangani pada Mac lepas.

Baginda juga berterima kasih kerana kerajaan menghormati dan menerima pandangan Majlis Raja-raja.

“Saya berharap kerajaan akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik.

“Saya akan memastikan kedaulatan negara dan keharmonian hidup rakyat akan sentiasa dipelihara,” kata Sultan Ibrahim dalam satu kenyatan media di laman Facebook.

Pada 5 April lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom yang dikritik pelbagai pihak, termasuk istana Johor.

Dr Mahathir berkata, Kabinet membuat keputusan menarik diri daripada triti kontroversi itu untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, bukan kerana ia memudaratkan negara atau tunduk kepada desakan pihak tertentu.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah menjelaskan bahawa Jemaah Menteri membuat keputusan mengikut prosedur yang betul dalam proses meratifikasi Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Saifuddin berkata, Jemaah Menteri juga membuat keputusan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam menandatangani perjanjian antarabangsa.

ICC ditubuhkan pada 2002 dan ditadbir mengikut Statut Rom yang berfungsi sebagai pelengkap undang-undang sedia ada di Negara Pihak bagi mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa seperti terkandung dalam Artikel 5 statut berkenaan, iaitu pembunuhan etnik, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan pencerobohan.

Sebanyak 124 negara menjadi Negara Pihak kepada Statut Rom sehingga 4 Mac lalu, termasuk negara beraja seperti Jepun, United Kingdom dan Jordan.