TH nafi cawangannya di Bachok kehabisan wang tunai

TH berkata, tiada pengeluaran panik dilaporkan di semua cawangannya dan keadaan adalah seperti biasa.

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan sekeras-kerasnya laporan berita tular melalui media sosial bahawa cawangannya di Bachok, Kelantan, kehabisan wang tunai.

Pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif TH, Zukri Samat berkata, laporan berita itu adalah fitnah semata-mata dan operasi TH berjalan seperti biasa dengan tiada trend pengeluaran wang tunai luar biasa dilaporkan.

Seorang wanita dalam laman Facebooknya mendakwa TH cawangan Bachok kehabisan wang tunai dan orang ramai penuh sesak membuat pengeluaran deposit.

“Tiada pengeluaran panik dilaporkan di semua cawangan dan keadaan adalah seperti biasa,” kata Zukri hari ini.

Beliau merayu kepada para pendeposit agar tidak terpengaruh dengan khabar angin atau berita palsu untuk mengelak tercetus keadaan panik.

Zukri juga berkata TH akan meminta pihak berkuasa supaya menyiasat pemegang akaun FB berkenaan, di samping mengambil tindakan undang-undang sewajarnya atas perbuatan yang tidak bertanggung jawab itu.