2 kumpulan himpun di luar Parlimen bantah tuntutan ke atas Statut Rom, penemuan Suhakam

Satu kumpulan mendesak kerajaan segera menubuhkan IPCMC selepas penemuan Suhakam minggu lalu yang polis bertanggungjawab ke atas kehilangan paksa 2 aktivis di Perlis dan Selangor.

KUALA LUMPUR: Dua kumpulan penunjuk perasaan yang mempunyai matlamat berbeza, berhimpun di luar bangunan Parlimen hari ini.

Satu daripada kumpulan itu menuntut Peguam Negara, Tommy Thomas meletak jawatan kerana mengelirukan raja berhubung Statut Rom, selepas Putrajaya menarik diri daripada triti itu minggu lalu.

Satu lagi kumpulan bersama beberapa ahli Parlimen parti pemerintah, menggesa kerajaan tidak menangguhkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), susulan penemuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia minggu lalu yang polis bertanggungjawab ke atas kehilangan paksa 2 aktivis di Perlis serta Selangor.

Antara mereka yang hadir ialah ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 serta individu yang mati dalam tahanan polis.

Mereka berarak dari Padang Merbok ke pintu pagar bangunan Parlimen sambil memegang kain rentang dan mendesak IPCMC ditubuhkan, sebelum disertai Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang, Kasthuri Patho (Batu Kawan) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).

Kumpulan lawan memegang plakad mendesak peletakan jawatan peguam negara di luar bangunan Parlimen hari ini.

Sepuluh wakil kumpulan itu dibenarkan memasuki kawasan Parlimen untuk menemui wakil Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus.

Kumpulan lawan pula berhimpun di seberang jalan sambil memegang plakad mendakwa peguam negara mengelirukan raja berhubung Statut Rom, triti antarabangsa yang membentuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Protes itu diadakan 2 hari selepas Dr Mahathir Mohamad berkata, Putrajaya menarik diri daripada ratifikasi Statut Rom disebabkan tekanan pihak tertentu yang mendakwa kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong akan terjejas.

Kumpulan yang menggesa penubuhan IPCMC memetik satu jawapan di Parlimen pada 2017 menyatakan 257 kematian berlaku dalam lokap polis dari 2002 hingga 2016, kebanyakannya dilaporkan tidak disiasat.

Mereka berkata, IPCMC perlu ditubuhkan untuk memastikan kes sedemikian disiasat sebuah badan bebas.

Mereka dalam satu kenyataan media berkata, kerajaan Pakatan Harapan berjanji IPCMC sebagai cara untuk meningkatkan akauntabiliti dan kecekapan pasukan polis.

Memorandum itu disokong lebih 50 pertubuhan, termasuk Suara Rakyat Malaysia, Kumpulan Bertindak Rakyat Berhubung Kehilangan Paksa (CAGED), kumpulan hak asasi EDICT, Pertubuhan Ikram Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia.

Sepuluh wakil yang dibenarkan memasuki kawasan Parlimen termasuk M Visvanathan daripada EDICT, M Ramanathan daripada CAGED, Mahathir Abdul Rahman yang adiknya dipenjara 4 tahun di bawah Sosma dan PV Elam Sezhian yang ahli keluarganya, Karuna Nithi mati dalam tahanan 7 tahun lalu.

Di seberang jalan, kumpulan yang mendesak peletakan jawatan Thomas berkata, Menteri Luar, Saifuddin Abdullah juga patut meletak jawatan kerana menggesa Malaysia menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom walaupun perjanjian itu melanggar “Perlembagaan dan norma Malaysia”.

Mereka turut menggesa sebarang cadangan menandatangani triti antarabangsa perlu dibahaskan di Parlimen terlebih dahulu, walaupun ia tidak dinyatakan dalam Perlembagaan dan untuk Parlimen menjadi badan eksekutif.

Mereka menuntut Putrajaya lebih berwaspada pada masa depan dan tidak “mudah terpengaruh ideologi dan kepercayaan barat sehingga menyebabkan Malaysia hilang nilainya sebagai negara timur”.

Memorandum itu turut ditandatangani Aktivis Pemuda Malaysia, Muhd Farwan Khairuddin, ahli Kelab Belia Mahasiswa Bangi, Azroy Azri dan Mushin Abdul Latheet dari Persatuan Kebajikan Surplus.

Wakil kumpulan itu juga dibenarkan memasuki Parlimen.