4 ahli akademi: Jangan jadi macam dulu, aktivis beritahu kerajaan

(Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Sekumpulan aktivis pelajar menggesa Kementerian Pendidkan jangan berkelakuan seperti kerajaan dulu terhadap 4 ahli akademi yang dikaitkan dengan dokumen kepada raja-raja Melayu mengenai “bahaya” Statut Rom.

Aktivis berkenaan, yang juga kumpulan sama yang mendedahkan imej dokumen itu kepada orang ramai berkata, kerajaan sepatutnya menangkis hujah dan memberikan pencerahan, bukannya mengambil tindakan ke atas mereka.

“Jika tindakan diambil ke atas pensyarah-pensyarah ini, maka tiada bezanya kerajaan dahulu dan sekarang. Kerajaan perlu menghormati prinsip kebebasan akademik yang juga menjadi hala tuju utama Kementerian Pendidikan di bawah Maszlee Malik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan itu berkata, tujuan dokumen itu didedahkan adalah supaya Statut Rom dapat dibincangkan dan diperdebatkan oleh semua lapisan masyarakat.

“Ini kerana kertas kerja tersebut telah diambil bulat-bulat oleh kerabat diraja sebagai hujahan untuk menolak Statut Rom.

“Kertas kerja pensyarah-pensyarah tersebut patut diperdebatkan dan pensyarah-pensyarah tersebut juga patut tampil mempertahankan hujah mereka,” katanya.

Kata mereka, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mendidik masyarakat mengenai Statut Rom, bukan sekadar menyalahkan pihak tertentu.

“Kami merasakan perdebatan ini harus berlaku kerana kerajaan telah cuci tangan dengan alasan bahawa Statut Rom telah dimanipulasikan oleh sesetengah pihak sehingga timbul kekeliruan.

“Kerajaan tidak mengambil inisiatif untuk memperbetulkan kekeliruan tersebut dan mendidik masyarakat tentang Statut Rom,” katanya.

Teo Nie Ching di Parlimen hari ini berkata kementerian akan membincangkan kedudukan 4 ahli akademi berkenaan, susulan pendedahan dokumen itu, yang menurut kumpulan pelajar terbabit mungkin bertanggungjawab menggagalkan langkah kerajaan memperakui Statut Rom.

Mereka berkata memorandum tersebut disediakan oleh Prof Rahmat Mohamad, Prof Madya Shamrahayu Ab Aziz, Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi yang dikemukakan kepada Persidangan Raja-raja pada 2 April.