Calon PH berharap Dr M hadir bantu kempen di Rantau

Calon PH dalam PRK Rantau, Dr S Streram berkata, beliau memahami sekiranya perdana menteri tidak hadir bagi membantu kempennya.

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau memasang hasrat agar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turun ke lapangan dan berkempen untuk dirinya sebagai calon wakil rakyat di kawasan itu.

Dr S Streram berkata, beliau pernah membaca dan mendengar laporan mengenai sokongan penuh perdana menteri kepadanya dalam PRK itu.

“Saya secara peribadi berharap Dr Mahathir turun ke Rantau untuk beri sokongan,” katanya kepada pemberita di Pekan Mambau, hari ini.

Sebelum ini, beberapa menteri kerajaan dilaporkan hadir ke Rantau bagi membantu kempen calon PH dalam PRK yang sedang berjalan itu. Antara yang hadir ialah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Walaupun begitu harapannya, Streram bagaimanapun berkata, beliau memahami sekiranya Dr Mahathir tidak hadir ke Rantau untuk memberi sokongan.

“Turun atau tidak, saya tidak boleh komen apa-apa. Mereka (menteri) pemimpin atasan,” katanya.

Dr Mahathir dilaporan hadir berkempen pada 2 PRK sebelum ini bagi menyokong calon PH yang bertanding, iaitu di PRK Cameron Highlands dan Semenyih.

Hari ini adalah hari ke-10 kempen bagi PRK Rantau. Esok merupakan hari mengundi awal, sementara 13 April adalah hari mengundi biasa.

Streram berhadapan saingan daripada calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Hassan dan 2 calon Bebas, iaitu Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.

PRK Rantau merupakan PRK ke-7 diadakan selepas pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu, iaitu PRK DUN Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Semenyih, kesemuanya di Selangor dan PRK kerusi Parlimen Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Cameron Highlands (Pahang).

Terdapat 29,926 pengundi berdaftar di DUN Rantau, dengan 55% daripadanya pengundi Melayu, India 26% dan Cina 19%.