DAP tuduh GPS main politik sebelum mengundi pinda perlembagaan

Chong Chieng Jen. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin DAP Sarawak menuduh gabungan pemerintha negeri bermain politik kerana tidak menyokong rang undang-undang meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan mengenai status Sabah dan Sarawak yang akan diundi esok.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menggesa Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengutamakan kepentingan kedua-dua negeri itu.

“Pesan saya kepada GPS adalah sokong RUU itu. Ia RUU penting yang akan memulihkan status Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan.

“Kamu mungkin sedang fikirkan tentang kepentingan lain, tetapi saya fikir kepentingan negeri harus jadi keutamaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Gabungan itu mengkritik pindaan yang dicadangkan itu, mengatakan ia tidak memadai dalam menjadikan Sabah dan Sarawak rakan setaraf dalam persekutuan seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Kerajaan baru-baru ini bersetuju untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan sama rata antara Sabah, Sarawak dan Semenajung, selaras dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan tahun lepas.

Perlembagaan ketika ini menyatakan negeri-negeri persekutuan adalah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

RUU yang dibentangkan pada Khamis mencadangkan Perlembagaan dipinda bagi menyatakan persekutuan terdiri daripada 11 negeri dan Sabah dan Sarawak, yang menurut pengkritik “tidak banyak perubahan”.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, Jeffrey Kitingan berkata susunan kata-kata pada pindaan itu harus diubah kerana ia tidak mencerminkan janji perkongsian setaraf untuk Sabah dan Sarawak.

“Pindaan mesti kembali kepada susunan kata-kata asal,” katanya.

“Dari satu segi, apa yang dikemukakan kepada kami yang memburukkan lagi keadaan. Ia tidak sebut tentang rakan setaraf, jadi kami kecewa.

“Apa yang kami mahu adalah takrif persekutuan yang berkaitan dengan Malaysia, dan kemudian mengatakan persekutuan terdiri daripada a) Persekutuan Negeri-negeri Tanah Melayu, b) Sabah dan c) Sarawak. Mudah kan.”

Ditanya adakah dia akan menyokong RUU itu apabila ia dibawa ke bacaan kedua dan ketiga, Jeffrey berkata: “Kami akan sokong RUU itu berdasarkan apa kami jangka perlu ada didalamnya.”

Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri tidak menyokong RUU itu pada ketika ini, mengatakan ia perlu ditunda sehingga selepas jawatankuasa khas jemaah menteri yang mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963 memberikan syor-syornya.

“Kita tidak patut mempolitikkan perkara ini,” katanya, “tetapi ia demi kepentingan Sarawak dan Malaysia seluruhnya. Oleh itu, kita tidak mahu ia dibuat terburu-buru.

“Ada perkara lain yang perlu dipinda,” katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa khas sedang merundingkan cukai jualan minyak dan gas sebanyak 5% untuk Sarawak serta mengkaji semula geran-geran dari Putrajaya.

Oleh itu, Nancy persoalkan sikap terburu-buru jemaah menteri.

“Jika ini tidak dipertimbangkan, orang yang rugi adalah rakyat Sarawak. Sekarang pun kita jauh ketinggalan dari segi prasarana dan pembangunan,” katanya.

“Jadi kita mahu sesuatu lebih bermakna untuk Sarawak. Jangan hanya masukkan kata-kata sahaja.”