Israel tahan adik lelaki ikon perjuangan Palestin, Ahed al-Tamimi

Ahed Al-Tamimi dan ibunya ditahan pada akhir 2017 oleh pihak berkuasa Israel, tetapi dibebaskan Julai tahun lepas. (Gambar Facebook)

RAMALLAH: Tentera Israel menahan adik lelaki ikon perjuangan Palestin, Ahed al-Tamimi, dalam satu serbuan di Tebing Barat yang diduduki rejim itu pada awal Isnin, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan ibu mereka.

“Pasukan tentera Israel menyerbu kediaman kami di Kampung Nabi Sali berhampiran Ramallah dan menahan anak lelaki saya Mohamed,” kata Nariman al-Tamimi.

“Tindakan tentera Israel menahan anak lelaki saya bertujuan memecah-belahkan keluarga kami,” katanya.

Alasan di sebalik penahanan itu masih tidak jelas dan tentera Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Ahed Al-Tamimi dan ibunya ditahan pada akhir 2017 oleh pihak berkuasa Israel, namun kedua-duanya dibebaskan pada lewat Julai tahun lalu selepas meringkuk selama 8 bulan dalam penjara.

Remaja perempuan berusia 17 tahun itu ditahan dan dipenjarakan kerana didakwa “menyerang” seorang anggota tentera Israel.