Isteri VVIP tak beli berlian merah jambu, kata timbalan menteri

Berlian merah jambu dan barang kemas lagi diikrarkan kepada kastam, kata Amiruddin Hamzah. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Seorang ejen jualan membawa masuk berlian merah jambu, bersama barang kemas lain, untuk “isteri seorang VVIP dan mengikrarkan kepada kastam, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Begitu juga, Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah berkata, ejen tersebut mengikrarkan barangan itu apabila membawanya keluar negara.

“Dibawa masuk oleh ejen, ejen ikrar bawa masuk, kemudian ada pengikraran benda sama dibawa keluar.

“Tak berlaku pembelian setelah dibawa oleh ejen,” kata Amiruddin ketika menggulung rang undang-undang Kastam (Pindaan) 2019 di peringkat dasar.

Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) bertanyakan borang kastam diisi dan duti eksais dibayar berkaitan lebih 40 barang kemas melibatkan “isteri seorang VVIP”, yang juga seorang ahli Parlimen.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng tahun lepas berkata wanita itu tidak membayar cukai untuk barang kemas yang dihantar kepadanya.

Beliau berkata barangan itu dibawa masuk seorang ejen eksport dan diberikan kepadanya.

Amiruddin menjelaskan, secara umumnya, duti eksais tidak dikenakan apabila barang kemas dibawa masuk.

Beliau berkata tiada keperluan untuk mengikrarkan dalam borang kastam jika dibawa sendiri oleh penumpang, sama ada dalam bagasi atau dipakai.

“Tak perlu, kecuali diimport melalui kargo, perlu dibuat pengikraran,” katanya.