Kaki ‘selfie’ berhampiran Lapangan Terbang Thailand bakal berdepan hukuman mati

(Gambar Bangkok Post)

Pengguna laman sosial semakin berani sehingga sanggup melakukan apa saja demi mengejar populariti dan likes.

Malah ada yang sanggup memanjat ke atas menara yang tinggi tanpa menghiraukan keselamatan demi sekeping gambar selfie.

Terbaru menurut laporan Mirror.uk kerajaan Thailand menegaskan boleh mendakwa pelancong yang selfie di pantai berhampiran lapangan terbang Thailand dan menjatuhkan penalty maksimum iaitu hukuman mati.

Pantai yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket begitu popular di kalangan pelancong untuk bergambar terutama ketika kapal terbang berlepas ataupun mendarat.

(Gambar Bangkok Post)

Tindakan tersebut menimbulkan kemarahan pengurusan lapangan terbang yang mengatakan tindakan tersebut mengganggu tumpuan juruterbang.

Menurut Wichit Kaewsaithiam, Pengurus Besar Lapangan Terbang tersebut akan mengambil tindakan selanjutnya untuk melarang gambar diambil dari kawasan tersebut.

“Kami akan mewujudkan zon keselamatan yang diklasifikasikan sebagai kawasan larangan bergambar.

“Selain kawasan ini, penduduk tempatan dan pelancong masing lagi boleh mengambil gambar seperti biasa,” katanya.

Dia turut memberi amaran kepada pelancong yang melepaskan dron di kawasan itu dan penggunaan pen laser yang boleh menjejaskan tumpuan juruterbang mengendalikan pesawat.

Selain bimbangkan keselamatan penerbangan, Wichit bimbangkan keselamatan pelancong yang bergambar di situ.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menjauhkan diri dari kawasan larangan itu bagi mengelak sebarang kemalangan,” katanya.

Segala peraturan yang ditetapkan bertujuan untuk melindungi pendengaran pengunjung akibat bunyi bising enjin pesawat.

Penalti untuk mana-mana pihak yang termaktub dalam peraturan itu termasuk hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara lima dan 20 tahun di bawah Akta Penerbangan 1978.

Sumber: Mirror.uk

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]