Kemalangan bas pekerja, 11 mangsa kritikal

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa kemalangan dikejarkan ke Hospital Putrajaya, Serdang, Banting dan Kajang. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Keadaan 11 mangsa yang dimasukkan ke hospital akibat kemalangan bas pekerja yang jatuh ke dalam longkang besar berhampiran kawasan MASKargo, Sepang malam semalam kritikal, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Keadaan 14 mangsa lagi adalah separa kritikal dan 8 kes tidak kritikal, katanya dalam satu kenyataan berhubung insiden itu.

Dalam kejadian kira-kira 11.10 malam itu, 11 maut – 10 warga asing dan seorang rakyat tempatan – apabila bas dengan 44 orang itu jatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira 4 meter.

Dua daripada kematian itu dilaporkan di hospital, manakala 9 lagi di lokasi kejadian, katanya.

“Mangsa kemalangan dikejarkan ke Hospital Putrajaya, Hospital Serdang, Hospital Banting dan Hospital Kajang,” kata Dr Noor Hisham.

Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan Hospital Putrajaya (PKPK) sejurus menerima panggilan pada 11.16 malam telah menyelaraskan pasukan respons.

Klinik Kesihatan Salak merupakan pasukan pertama yang diaktifkan untuk memberi bantuan ke tempat kejadian, diikuti pasukan respons daripada fasiliti berdekatan, katanya.