Kemenangan PH bukan tiket untuk burukkan BN, kata Tok Mat

Mohamad Hasan mengingatkan PH supaya ‘tidak syok dengan mak, tetapi membuang anaknya’.

SENDAYAN: Calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Rantau, Mohamad Hasan menasihatkan Pakatan Harapan berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu dan berusaha membuktikan mereka mampu mentadbir serta memajukan negara.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, rakyat menyokong PH pada pilihan raya umum ke-14 lalu bukan untuk mendengar mereka mencanang keburukan BN dan membangkitkan isu demi meraih undi pada PRK.

“Kau dah kahwin dengan janda, anaknya kau peliharalah sekali. Takkan syok dengan maknya, anak kau nak buang. Mana boleh macam tu, anaknya jagalah sama.

“Kau dah menang kerajaan, hutang selesaikanlah,” katanya dalam siri ceramah pentas Pemuda BN di Kampung Sendayan, malam tadi yang turut dihadiri Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Mohamad berkata, beliau tidak nampak hala tuju kerajaan persekutuan pimpinan Dr Mahathir Mohamad mahupun kerajaan Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Aminuddin Harun.

“Hingga hari ini, kerajaan persekutuan dan Negeri Sembilan tiada hala tuju. Asyik-asyik cakap BN punya salah, 1MDB, hutang banyak.

“Kamu sudah menang, buatlah kerja. Takkan kata kamu tidak mahu buat kerja kerana semua BN punya salah,” katanya di depan lebih 500 hadirin.