Kerajaan cadang gubal akta pembangunan semula bandar, kata Khalid Samad

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang mewujudkan undang-undang khusus berhubung pembangunan semula bandar yang pada masa ini hanya berpandukan peruntukan menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Menterinya Khalid Abdul Samad berkata, panduan itu melibatkan 4 kategori iaitu pembangunan semula bandar, pemulihan bandar, pemeliharaan bandar dan penyegaran bandar.

“Namun dalam konteks Malaysia, sehingga kini tiada perundangan khusus bagi pelaksanaan pembaharuan semula bandar. Justeru, satu perundangan baru berkenaan perkara tersebut perlu diwujudkan,” katanya pada persidangan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin tahu jika kementerian bercadang memperkenalkan undang-undang baru pembangunan semula bandar oleh pihak swasta seperti yang dilaksanakan oleh negara seperti Hong Kong dan Singapura.

Khalid berkata, perumahan berteraskan prinsip “subsidi silang” akan diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun dilaksanakan secara lebih telus dan tidak terlalu menguntungkan pemaju.

“Kita dapati walaupun konsepnya baik, dalam banyak hal pelaksanaannya menimbulkan persoalan kerana didapati terlalu banyak menguntungkan pemaju,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Tengku Adnan Tengku Mansor (BN-Putrajaya) berhubung pelaksanaan subsidi silang yang membolehkan pemberian rumah percuma kepada penduduk asal sesebuah kawasan tanpa menggunakan wang kerajaan seperti projek di kawasan Kampung Kerinchi dan Bandar Tun Razak.