Lapangan terbang Kulim bebaskan ekonomi Kedah, kata dewan Cina

Lapangan terbang Kulim. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kedah (KCCCI) percaya pembinaan lapangan terbang Kulim bakal mengukuhkan ekonomi Kedah dengan kemasukan produk dan perkhidmatan menerusi e-dagang atau perdagangan dalam talian.

Presiden KCCCI, Tang Eng Kiang berkata, e-dagang akan menjadi pengubah ekonomi Kedah selepas sekian lama negeri itu bergantung kepada industri pertanian.

“Kedah selama ini banyak bergantung kepada sektor pertanian seperti getah dan minyak sawit. Dengan pembinaan lapangan terbang di Kulim, lebih banyak barangan dan perkhidmatan akan dipasarkan dan ini membantu menguatkan ekonomi menerusi e-dagang,” katanya kepada FMT.

Tang berkata, e-dagang secara tidak langsung akan membawa masuk pelbagai jenis teknologi untuk para pengilang dan pemain industri sekali gus melonjakkan lagi ekonomi negeri itu.

“Bukan sahaja peluang pekerjaan akan bertambah banyak tetapi Kedah juga akan menjadi negeri berpendapatan tinggi seperti Pulau Pinang,” katanya.

Tang menganggap pandangan sesetengah pihak yang mengatakan lapangan terbang Kulim akan memberi kesan buruk kepada lapangan terbang serta ekonomi di Pulau Pinang tidak berasas kerana status ekonomi berbeza antara 2 negeri tersebut.

“Keluaran dalam negeri kasar (KDNK) di Pulau Pinang adalah jauh lebih tinggi berbanding Kedah. Pembinaan lapangan terbang Kulim sebenarnya akan membantu Kedah mengurangkan jurang pendapatan 2 negeri ini.

“Tetapi ia tidak bermaksud negatif, sebaliknya akan bantu tingkatkan ekonomi di wilayah utara secara keseluruhan,” katanya.

Tang berkata, lapangan terbang di Kulim juga akan membantu menangani masalah kesesakan lalu lintas.

“Penduduk Pulau Pinang setiap hari berdepan dengan kesesakan lalu lintas yang dahsyat. Kalau lapangan terbang Kulim tidak dibina, kesesakan pasti akan bertambah teruk,” katanya.

Minggu lepas, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang perlu diperbesarkan sebelum meneruskan cadangan pembinaan lapangan terbang Kulim di Kedah.

Katanya, perkara itu diputuskan selepas Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) melahirkan kebimbangan terhadap projek pembinaan lapangan terbang Kulim yang diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.

“Kerajaan persekutuan harus memberi keutamaan kepada projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dahulu,” katanya.

Menurutnya, oleh kerana projek lapangan terbang Kulim menjadi inisiatif pembiayaan swasta, dewan itu diminta menunggu syarikat yang akan dilantik untuk mengumumkan rancangan mereka.

“Buat masa ini kita hanya boleh menyatakan bahawa kita sedang menunggu sektor swasta untuk tampil dan mengumumkan rancangan mereka,” katanya.

Chow berkata, PCCC juga meminta syarikat tempatan negeri diberi keutamaan dalam mendapatkan kontrak kerja hasil daripada pembangunan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).