Laporan audit LTAT bohong, kata Mat Sabu

Mohamad Sabu berkempen untuk calon PH, Dr S Streram (kiri) dalam ceramah umum Amanah di Kampung Mambau, Rantau, malam tadi. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mendakwa laporan audit ke atas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tahun lalu ialah satu pembohongan kerana ia tidak tepat dan tidak menunjukkan keadaan kewangannya secara telus.

Beliau menjangkakan laporan audit khas LTAT akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Audit yang diisytihar 2018 bohong. Siapa dalam tabung angkatan tentera? Melayu ke Cina? Siapa curi? Siapa tipu? Ini kamu curi, kamu rompak, kamu tuduh Cina.

“Sampai bila nak main politik macam tu? Macam kita tak ada maruah nak bela Melayu,” katanya dalam ceramah di Kampung Mambau, sempen kempen pilihan raya kecil Rantau malam tadi.

“Semua kaum kalau nak pangkah, jangan fikir kita bangunkan negara dalam perkauman. Kita jaga semua tanpa kira perkauman dan agama.”

Pada 30 Mac lalu, Mohamad dilaporkan berkata, dividen LTAT belum diumumkan kerana terdapat banyak akaun yang tidak menunjukkan kedudukan sebenar lembaga itu di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Katanya, pengumuman itu akan mengambil masa kerana ada banyak perkara yang ditegur Jabatan Audit Negara secara serius mengenai keuntungan sebenar yang bermasalah.

“Jadi, kami perlu membuat semakan terlebih dahulu. Selain itu, kementerian saya juga antara kementerian yang disiasat di bawah Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Ambrin Buang.”

Sementara itu, Mohamad yang juga presiden Amanah berkata, Malaysia akan muflis jika Putrajaya tidak campur tangan dalam krisis Lembaga Tabung Haji (TH).

“Menteri kewangan yang tolong selamatkan TH. Kalau TH lingkup, bursa saham lingkup, (keadaan) Malaysia akan jadi macam Greece.”

Katanya, Kementerian Kewangan menyuntik wang kepada TH untuk menstabilkan semula struktur kewangannya.

“Siapa jadi menteri kewangan, dia bertanggungjawab (selama) 1 tahun untuk masuk duit dalam TH sebanyak RM1.7 bilion.”

Minggu lalu, TH mengumumkan hibah sebanyak 1.25% bagi tahun kewangan 2018, yang terendah dalam sejarahnya setakat ini.

TH menjalani penstrukturan kewangan pada Disember 2018, dengan aset bernilai RM19.9 bilion dipindahkan kepada sebuah syarikat tujuan khas kerajaan.

Mohamad berkata, beliau kecewa dengan sesetengah pihak yang cuba mempolitiikan isu TH meskipun kerajaan berusaha menyelamatkan prestasi kewangan TH.

“Ada satu khutbah Jumaat di Kedah, mereka kata pengerusi TH (orang) Cina. Ya Allah, tipu dalam khutbah.

“Ini dalam khutbah nak tipu. Habislah TH, Cina ambil alih,” katanya.