‘Le Petit Chef’ beri pengalaman baru makan sambil dihiburkan dengan keletah chef comel

Sambil makan sambil dihiburkan dengan keletah comel ‘chef terkecil’ sudah tentu memberi gambaran dan suasana yang berbeza.

Itulah pengalaman makan secara inovatif yang paling berharga disediakan ‘Le Petit Chef’ di Element Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebaik sahaja memasuki ruang restoran khas dengan susunan meja yang teratur dan kemas, penataan cahaya yang tenang dan diseling dengan muzik Perancis membangkitkan lagi perasaan tidak sabar untuk merasai pengalaman bersama ‘chef terkecil’ ini.

Malah setiap meja yang terdiri daripada sama ada untuk 2 orang, berempat atau berenam dilengkapi dengan projector masing-masing.

Untuk pengetahuan, Malaysia menjadi negara Asia Tenggara pertama untuk merasai pengalaman disajikan makanan ‘Chef terkecil di Dunia’.

Makan malam dimulakan dengan memperkenalkan Chef Jeff Ramsey iaitu satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia chef terkemuka.

Michelin starred chef, Chef Jeff Ramsey

Berasal dari Jepun dan campuran Amerika Syarikat, Chef Ramsey sememangnya mempunyai kepakaran dalam penyediaan hidangan Asia serta Barat.

Malah katanya kombinasi hidangan juga ada kalanya memberikan kelainan kepada makanan yang disediakan.

Sejurus selepas itu bermulalah penceritaan animasi ‘chef kecil’ yang menggunakan teknologi 3D dan dipamerkan ke piring makanan setiap individu bagaimana dia menyediakan makanan yang akan dihidangkan.

Keletah dan karenah chef kecil ini ditambah dengan kombinasi bunyi dan pengcahayaan hingga mampu memberi gambaran seakan-akan ianya realiti sudah pasti menghiburkan pelanggan yang ingin menikmati hidangan Perancis yang bakal disajikan.

Hidangan 4 set selama 90 minit menyaksikan Le Petit Chef akan memulakan aksinya bagaimana dia memancing dan menangkap hidupan laut kemudian memasaknya diikuti dengan beberapa unsur jenaka yang diselang selikan ketika memasak.

Menu 4 hidangan yang disajikan bagi set ‘Chef de Partie’

Setiap persembahan akan chef kecil ini pasti akan diakhiri dengan kemalangan sama ada dibadai ombak, terjatuh ke dalam api atau ditelan oleh ribut salji.

Hidangan pembuka selera ‘Bouillabaisse’ sungguh menyelerakan apabila makanan laut yang segar membuatkan sup sangat sedap sebaik ia masuk ke mulut.

Bouillabaisse sebagai hidangan pembuka selera memberi kepuasan maksima sebaik sahaja sudu sup dimasukkan ke mulut

Hidangan kedua ‘Tail Spin’ adalah udang jumbo dipanggang bersama mentega dan turut disajikan bersama ‘Lemongrass Sabayon’ dan kek jagung ‘Polenta’.

Hidangan kedua adalah ‘Tail Spin’ udang yang dipanggang tidak terlalu masak sesedap rasa apabila dimakan

Sebelum hidangan ini dipersembahkan seperti biasa animasi Le Petit Chef lebih kelakar apabila dia terpaksa berdepan kesukaran menangkap lobster malah dia terpaksa menunggangnya beberapa kali dan akhirnya dia hanyut dipukul ombak.

Situasi ini membuatkan semua yang hadir terketawa kecil dengan kenakalannya.

Tibalah masa untuk hidangan utama yang menyaksikan chef kecil ini sedang memanggang kepingan daging bersama beberapa sayur tetapi disebabkan lalat datang mengganggunya membuatkan satu letupan kecil berlaku dan chef kecil ini terjatuh ke dalam lubang.

Hidangan utama ‘Le Beouf’ menyaksikan kelembutan isi ayam meskipun nampak agak rangup di bahagian kulit dihidangkan dengan sos khas

Sebaik sahaja habis animasi chef comel ini, hidangan ayam panggang bersama dengan brokoli dan lobak merah dihidangkan membuatkan semua tidak sabar untuk menikmatinya.

Hidangan terakhir iaitu pencuci mulut sememangnya membuatkan semua yang sudah menikmati 3 hidangan terpegun apabila aiskrim vanilla disajikan bersama ‘smoked coklat cair ’ dituang di dalam setiap pinggan secara live.

Pencuci mulut ‘Milk and Caramel Fantasy’ adalah pelengkap kepada semua hidangan Le Petit Chef

Secara jujurnya meskipun keseluruhan persembahan dan makanan adalah selama 1 jam 30 minit namun ia tidak terasa apabila semua sangat terhibur dengan persembahan Le Petit Chef dan hidangan yang menyelerakan daripada Chef Ramsey.

Dengan kerjasama Elements Kuala Lumpur dan 2Spicy Entertainment, 36 orang boleh merasai pengalaman ini pada setiap sesi.

Tiket dan hidangan dijual dari Selasa hingga Ahad dan mempunyai 2 hingga 4 sesi mengikut hari dan pada harga:-

  • Chef de Partie RM299 setiap seorang untuk 4 hidangan
  • Sous Chef RM499 setiap seorang untuk 4 hidangan
  • Le Grand Chef RM999 setiap seorang untuk 5 hidangan

Idea animasi chef kecil ini bermula di Belgium dan menjadi viral apabila videonya di Youtube sahaja mendapat tontonan sehingga 6.8 juta.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]