Mahkamah batal petisyen pilihan raya Parlimen Sipitang

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya hari ini membatalkan petiysen pilihan raya untuk Parlimen Sipitang kerana penyalahgunaan proses selepas pempetisyen tidak bersedia dengan dokumen-dokumen berkaitan, termasuk keterangan saksi.

Hakim Azahari Kamal Ramli juga mengetepikan permohonan daripada Noor Hayaty Mustapha dari Warisan memohon kes ditangguh.

Noor Hayaty memfailkan petisyen itu terhadap Yamani Hafez Musa, anak bekas ketua menteri Musa Aman. Yamani memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional pada pilihan raya umum tahun lepas.

Mahkamah Pilihan raya membatalkan petisyen itu dengan kos pada 15 Oktober tahun lepas, tetapi Mahkamah Persekutuan kemudian memerintahkan petisyen dihantar kepada Mahkamah Pilihan Raya untuk dibicarakan.

Perbicaraan sepatutnya berjalan dari 8 hingga 12 April, 17 hingga 28 Jun, 1 hingga 12 Julai, dan 23 hingga 31 Julai.

Peguam Yamani, Jeyan Marimuttu berkata pasukan peguam pempetisyen sepatutnya memfailkan keterangan saksi dan dokumen-dokumen berkaitan 7 hari sebelum perbicaraan.

“Tetapi tiada keterangan saksi difailkan,” katanya kepada pemberita hari ini.

“Mereka diberi masa untuk periksa Borang 13 dan 14, yang mereka lakukan. Tetapi tidak ada dokumen difailkan di mahkamah. Kami sedia bertukar keterangan saksi,” tambahnya.

“Jelas sekali mereka melanggar perintah mahkamah, oleh itu petisyen dibatalkan tanpa perintah mengenai kos.”

Tengku Fuad Ahmad, yang mewakili Yamani berkata, pempetisyen mempunyai banyak masa untuk sediakan dokumen-dokumen yang perlu untuk perbicaraan itu.

“Hakim berkata kegagalan menghasilkan dokumen-dokumen itu dilihat sebagai penyalahgunaan proses, dan tidak bersedia untuk perbicaraan.”

Yamani memenangi kerusi itu dengan kelebihan 852 undi, meraih 12,038 undi berbanding Hayaty yang meraih 11,186 undi.

Sementara itu, petisyen pilihan raya untuk Parlimen Kimanis yang dimenangi bekas menteri Anifah Aman masih berjalan.

Karim Bujang dari Warisan memfailkan kes terhadap Anifah.

Petisyen itu dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya pada 19 November taun lepas. Ia kemudian diterbalikkan Mahkamah Persekutuan, yang mengarahkan petisyen dihantar ke mahkamah untuk dibicarakan.

Perbicaraan akan berjalan dari April hingga Jun.