Mahkamah Persekutuan, KPM lancar program terap ilmu perundangan di sekolah

Ketua Hakim Negara Richard Malanjum berkata, pengajaran mengenai sistem perundangan negara di peringkat universiti sudah agak lambat.

PUTRAJAYA: Pelajar sekolah menengah di seluruh negara akan diberikan kefahaman awal mengenai sistem perundangan menerusi program Dari Mahkamah ke Bilik Darjah (MYC2C).

Program anjuran Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan itu bertujuan menerapkan ilmu berkaitan undang-undang dalam kalangan pelajar dan memberi pendedahan awal mengenai intipati undang-undang serta mendidik mereka untuk menghormati undang-undang negara.

Ketua Hakim Negara Richard Malanjum berkata, program yang dilancarkan di negara seperti Amerika Syarikat, Britain dan Filipina itu bertujuan memupuk dan mendorong generasi muda mengetahui sistem perundangan di negara ini.

“Biasanya sistem perundangan diajar di fakulti perundangan dan ia agak lambat. Jika diajar di bangku sekolah lagi, generasi muda akan lebih mengetahui sistem penghakiman negara,” katanya selepas pelancaran Program MYC2C, di sini hari ini.

Malanjum berharap anak muda mendapat manfaat daripada program berkenaan dan juga dapat mengurangkan penggunaan dadah dan buli di peringkat sekolah.

Turut hadir ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah, Presiden Mahkamah Rayuan Ahmad Maarop, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Mohamed Hanipa Maidin, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Operasi Pendidikan) Shaari Osman.

Malanjum berkata, program MYC2C meliputi 3 aspek utama, iaitu lawatan ke mahkamah, hakim ke sekolah dan peguam muda, yang sekali gus memberi ruang dan peluang kepada pihak sekolah dan mahkamah untuk saling bekerjasama dan berkongsi pengetahuan dan pengalaman.

“Program ini akan bermula hari ini dengan lawatan ke mahkamah, manakala aspek lain, iaitu hakim ke sekolah dan peguam muda akan bermula 1 Jun ini,” katanya.