Malaysia mahu tawaran lebih baik untuk bangunan HK, kata Guan Eng

Lim Guan Eng berkata, ‘bodoh’ untuk menerima deposit daripada pihak berminat membeli Bangunan Malaysia di Jalan Gloucester, Wanchai, Hong Kong kerana jualan hartanah ini berdasarkan tender terbuka sekarang. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Putrajaya belum menerima sebarang deposit bagi sebuah bangunan milik kerajaan di Hong Kong yang dibuka untuk jualan, kata Lim Guan Eng selepas seorang pemimpin MCA menggesa ia menunjukkan bukti mendapat tawaran RM1.6 bilion.

Menteri kewangan berkata, kerajaan mahu menunggu tawaran lebih baik untuk Bangunan Malaysia di Jalan Gloucester di Wanchai, Hong Kong.

Katanya, jika kerajaan menerima deposit bagi tawaran RM1.68 bilion untuk hartanah itu, ia tidak boleh mendapat tawaran lebih tinggi.

Lim turut menolak permintaan Presiden MCA, Wee Ka Siong untuk kerajaan menunjukkan bukti deposit daripada pihak berminat yang menawarkan RM1.68 bilion untuk membeli bangunan itu.

Katanya, “bodoh” untuk kerajaan menerima deposit kerana jualan bangunan itu kini berdasarkan tender terbuka.

Beliau berkata, kerajaan terdahulu mahu menjual bangunan itu pada harga RM1.1 bilion menerusi rundingan terus, iaitu RM500 juta lebih rendah daripada tawaran diperolehi kerajaan baru.

Lim turut mengkritik Wee “menumpukan perkara remeh” mengenai standard bahasa Inggeris dalam surat tawaran untuk jualan bangunan 28 tingkat itu.

“Anda bercakap mengenai wang atau bahasa? Mana lebih penting, bahasa atau wang?

“Saya rasa bahasa wang ialah sejagat…jika mereka sanggup bayar, itu lebih penting,” katanya selepas menghadiri perbicaraan fitnah terhadap pemimpin Pemuda Gerakan, Jason Loo di Mahkamah Tinggi di sini.

Beberapa pihak membantah penjualan aset kerajaan di Hong Kong itu, termasuk Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang dilaporkan berkata, menara itu dibeli pada harga kira-kira HK$200 juta (RM103.8 juta) pada 1980-an.

Beliau yang merupakan menteri kewangan ketika Malaysia membeli bangunan itu menasihatkan Putrajaya mencari alternatif lain, bukannya menjual aset negara untuk melangsaikan hutang.