Mangsa serangan Christchurch berpura mati kongsi pengalaman

Rahimi bersama isteri dan ibunya yang masih menjalani rawatan dan fisioterapi di hospital di Christchurch

Umat Islam seluruh dunia pasti tidak akan melupakan tragedi berdarah serangan tembakan yang berlaku di dua masjid di Christchurch bulan lepas.

Insiden yang mengorbankan 50 nyawa itu ternyata membuatkan satu dunia meratap sedih.

Dan sehingga kini, ada lagi mangsa yang terselamat dan masih dirawat di hospital.

Salah seorang daripadanya adalah rakyat Malaysia, Rahimi Ahmad, yang terpaksa berpura-pura mati demi menyelamatkan dirinya.

Apabila mengimbau insiden tembakan itu, Rahimi menerimanya dengan ketentuan qada dan qadar Allah SWT dan tidak pernah berasa dendam terhadap perbuatan lelaki tersebut.

“Saya tidak berdendam atau rasa nak marah malah memaafkan perbuatan lelaki itu, cuma perbuatan dia yang salah perlu dihakimi dengan betul.

“Kalau kita maafkan dan dia terlepas begitu saja, tiada gunanya, saya maafkan perbuatan dia, tetapi dia kena diadili dengan betul serta menerima hukuman setimpal atas kesalahan dilakukannya,” katanya.

Menurutnya lagi, dia berasa bersyukur kerana dirinya masih diberi peluang untuk hidup meskipun mengalami kecederaan.

Rahimi masih dalam keadaan terlantar sejurus selepas kejadian ditemani isterinya dan menerima kunjungan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern

“Bagaimanapun, saya bersyukur dalam kejadian itu saya terselamat selepas berpura-pura mati sebaik terkena tembakan pertama di perut.

“Malah, ketika ditembak, saya meniarap dan mematikan diri manakala satu tubuh jemaah lain menghempap badan saya dan seorang lagi mengenai kaki saya.

“Selepas terkena tembakan, saya terus meniarap dan tidak mengangkat kepala langsung serta hanya mendiamkan diri dan berzikir. Saya dapat mendengar jemaah yang mengerang kesakitan ditembak lagi sehingga mati,” katanya.

Menurut laporan daripada media tempatan, Rahimi masih dirawat dan sedang menjalani rawatan fisioterapi.

Dia masih tidak boleh menggerakkan kakinya akibat daripada tembakan yang terkena pada bahagian perut.

“Saya ditembak di perut, tapi peluru pergi sampai ke tulang belakang dan pecah dalam badan hingga serpihan mengganggu sistem saraf termasuk kaki.

“Saya tidak pasti berapa lama di sini, mungkin sehingga saya mampu berjalan menggunakan tongkat, apabila ditanya kepada pakar, mereka pun tidak dapat menjawab,” katanya.

Selain itu, akibat kesan tembakan tersebut juga menyebabkan kaki kanannya seperti dicucuk jarum dan rasa macam terkena simbahan air panas.

“Ketika ini kaki kanan saya seperti dicucuk jarum, disimbah air panas, malah terasa kedudukan jari tengah berada di tepi, kaki pijak lantai tapi rasa tapak kaki di atas berikutan maklumat otak dan saraf tidak bertindak balas dan kaki kiri masih kebas hingga sekarang,” katanya lagi.

Rahim antara 3 rakyat Malaysia yang cedera manakala seorang remaja, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17 tahun disahkan terkorban bersama 49 lagi mangsa yang lain dalam serangan pengganas menembak di Christchurch pada 15 Mac lalu ketika umat Islam sedang menunggu untuk solat Jumaat.

Sumber: Harian Metro

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]