Mat Sabu harap anak dapat perbicaraan adil atas dakwaan dadah

Mohamad Sabu berkata, anaknya tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang selepas didapati positif ganja dalam satu serbuan polis awal tahun ini.

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hari ini mengesahkan anaknya yang ditahan dalam satu kesalahan dadah awal tahun ini, akan didakwa di mahkamah.

“Tiada sesiapa terkecuali daripada tindakan undang-undang, termasuk anak saya. Saya hanya berharap dia akan mendapat perbicaraan adil,” kata presiden Amanah itu kepada FMT hari ini.

Saiful Islam, 31, antara 2 lelaki yang dilaporkan positif ganja dalam satu operasi polis di Kuala Lumpur dengan lebih 100 orang diperiksa.

Mat Sabu ketika itu berkata, beliau menyerahkan kes anaknya kepada undang-undang.

“Saya komited kepada prinsip tiada siapa terkecuali daripada undang-undang. Tetapi, saya juga berpegang kepada prinsip semua orang tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah di mahkamah,” katanya kepada FMT pada 5 Januari lalu.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat berkata, kertas siasatan membabitkan anak seorang menteri persekutuan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.