Pemaju enggan bina rumah Felda selepas BN kalah PRU14, kata Tok Mat

Mohamad Hasan berkata, jika beliau dilantik semula sebagai menteri besar Negeri Sembilan, projek 242 rumah teres setingkat itu akan diteruskan dan boleh siap mengikut jadual ditetapkan.

SEREMBAN: Mohamad Hasan berkata, projek 242 rumah teres bagi generasi ke-2 Felda tidak dilaksanakan selepas pilihan raya umum ke-14 lalu bukan salah Barisan Nasional, tetapi pemaju yang enggan memulakan pembinaannya selepas kerajaan negeri bertukar tangan.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu menolak dakwaan seorang exco negeri itu yang projek terbabit dilancarkan beberapa hari sebelum PRU14 demi meraih undi warga Felda kerana tanah untuk projek itu sudah diluluskan dan tidak timbul ia sekadar janji kosong untuk memenangi pilihan raya.

Calon BN bagi pilihan raya kecil Rantau yang lebih dikenali sebagai Tok Mat itu berkata, jika dilantik sebagai menteri besar semula, projek itu akan diteruskan dan boleh siap mengikut jadual ditetapkan.

“Memang projek itu akan dibuat, tetapi selepas PRU14, keputusan pilihan raya itu tidak seperti yang dijangkakan, maka pemaju pun tidak berhasrat meneruskan. Jadi, itu bukan masalah saya.

“Cuba letak saya jadi menteri besar lagi, projek itu akan bermula. Terpulanglah macam mana kerajaan negeri akan uruskan projek itu, sama ada mereka mendapat sokongan daripada pihak berkenaan ataupun tidak,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN Rantau hari ini.

Semalam, Exco Perumahan Negeri Sembilan, Teo Kok Seong dilaporkan mendakwa projek 242 rumah teres setingkat bagi generasi ke-2 Felda hanya janji Mohamad dan BN bagi meraih undi peneroka pada PRU14.

“Selepas saya semak dengan pegawai-pegawai berkenaan, sebenarnya rumah yang sepatutnya dibangunkan di Jimah belum dapat tanah pun.

“Perkara ke-2, rumah yang sepatutnya dibangunkan di Bukit Sendayan itu belum dibangunkan lagi. Jadi, paling penting ini menunjukkan kerajaan terdahulu cuba menggunakan jentera kerajaan untuk meningkatkan promosi terhadap mereka semasa pilihan raya,” dakwa Teo.

Pada 6 Mei 2018, Mohamad dilaporkan berkata, projek itu dijangka siap pertengahan tahun ini dan ia hadiah kerajaan negeri kepada peneroka Felda Sendayan yang pernah bersama kerajaan negeri menyelesaikan kemelut tanah rancangan itu.