Pengerusi Korean Air meninggal dunia selepas disingkir pemegang saham

Cho Yang Ho disingkir daripada lembaga pengarah Korean Air dalam mesyuarat pemegang saham bulan lalu, susulan beberapa siri siasatan ke atas ahli keluarganya yang didakwa menggunakan kedudukan mereka untuk menganiayai orang bawahan. (Gambar Bloomberg)

SEOUL: Pengerusi Korean Air, Cho Yang Ho meninggal dunia akibat penyakit kronik kurang 2 minggu selepas disingkir daripada lembaga pengarah syarikat penerbangan rasmi negara itu, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap memetik kenyataan syarikat itu pada Isnin.

Yang Ho, 70, meninggal dunia di Amerika Syarikat akibat penyakit paru-paru.

Korean Air berkata, syarikat itu akan menggerakkan satu sistem pengurusan kecemasan bagi memastikan operasinya berjalan lancar.

Dia turut berkhidmat sebagai pengerusi Kumpulan Hanjin yang memiliki Korean Air, syarikat penerbangan tambang murah Jin Air Co, Hanjin KAL dan beberapa syarikat lain.

Dia disingkir daripada lembaga pengarah syarikat dalam mesyuarat pemegang saham bulan lalu, susulan beberapa siri siasatan ke atas ahli keluarganya yang didakwa menggunakan kedudukan mereka untuk menganiayai orang bawahan.

Penyingkiran Yang Ho adalah yang pertama menyaksikan ahli keluarga pengasas mana-mana konglomerat Korea Selatan dipaksa melepaskan jawatan penting menerusi undian pemegang saham.

Dia sedang dibicarakan selepas dia didakwa tahun lalu atas pelbagai pertuduhan yang turut membabitkan penggelapan wang dan pengelakan cukai.

Selain itu, isteri dan 2 anak perempuannya turut berdepan kritikan orang awam kerana kelakuan tidak senonoh mereka.

Pada Mei 2018, isterinya, Lee Myung Hee dipanggil polis atas dakwaan mendera secara fizikal dan lisan pekerja Kumpulan Hanjin, konglomerat ke-14 terbesar negara itu berdasarkan jumlah asetnya.

Anak perempuan sulung Yang Ho, Hyun Ah menjadi tajuk utama media di peringkat antarabangsa pada 2014 apabila beliau mengarahkan sebuah pesawat Korean Air yang dinaikinya berpatah balik ke sebuah lapangan terbang di New York kerana berang dengan cara dia disajikan kacang macadamia.

Dia dihukum penjara setahun kerana melanggar undang-undang penerbangan pada akhir 2014, namun dibebaskan pada awal 2015 selepas sebuah mahkamah tinggi menggantung hukuman itu.

Adik perempuan Hyun Ah, Hyun Min pula dikritik selepas didakwa membaling cawan berisi air dalam satu mesyuarat perniagaan dengan sebuah firma rakan kongsi.

Kedua-duanya kemudian melepaskan jawatan kanan yang disandang dalam syarikat penerbangan itu susulan skandal tersebut.

Imej Korean Air tercemar teruk apabila prestasinya merosot pada 2018.

Ia mencatat kerugian bersih 167.6 bilion won (AS$147.5 juta) tahun lalu berbanding keuntungan bersih 801.9 bilion won pada 2017.

Yang Ho meninggalkan 2 anak perempuan dan seorang anak lelaki, Won Tae yang kini berkhidmat sebagai presiden syarikat penerbangan negara itu.

Kematian Yang Ho mungkin mengubah struktur pemilikan Kumpulan Hanjin dan sekutunya, dengan anak lelakinya tampil di barisan depan pengurusan syarikat itu.

Yang Ho mengikuti pengajian dalam bidang pentadbiran perniagaan di Universiti Inha yang ditubuhkan Korean Air.

Dia memulakan kerjayanya di Korean Air pada 1974 dan menjadi pengerusi Jawatankuasa Pembidaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 bagi PyeongChang dan pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018.

Setakat 11.20 pagi tadi, saham Korean Air melonjak 3.29% kepada 32,950 won, mengatasi keuntungan Kospi sebanyak 0.20%.