Putrajaya tolak tawaran pinjaman RM1 bilion Sarawak baiki sekolah daif

Kerajaan Sarawak berkata, Menteri Pendidikan Maszlee Malik bersetuju Februari lepas pinjaman RM1 bilion itu digunakan untuk membaiki sekolah daif di negeri berkenaan. (Gambar Bernama)

KUCHING: Putrajaya menolak tawaran pinjaman RM1 bilion daripada Sarawak untuk membaiki sekolah daif di negeri itu.

Wang tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk membayar hutang kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Michael Manyin berkata, kerajaan persekutuan sebaliknya meminta kerajaan negeri membuat “bayaran pendahuluan” untuk kerja pembaikan tersebut.

“Bagaimanapun kami tidak pasti apakah mereka akan guna bayaran pendahuluan itu untuk membaik pulih sekolah-daif tersebut,” katanya ketika ditemui selepas upacara penyampaian biasiswa Kolej Reng, di sini, hari ini.

Manyin berkata, Menteri Pendidikan Maszlee Malik bersetuju Februari lepas supaya pinjaman RM1 bilion itu digunakan untuk membaiki sekolah daif di negeri ersebut.

Kerajaan negeri, katanya, sedang dalam proses menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Sarawak untuk menjalankan projek tersebut apabila dimaklumkan bahawa Putrajaya menolak perjanjian itu.

“Kami perlu berunding kembali dan saya akan menemui Ketua Menteri Abang Johari Openg untuk membincangkan apakah yang perlu dilakukan selepas ini,” katanya.

Manyin berkata, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching tidak seharusnya meminta kerajaan Sarawak mengeluarkan dana bagi membaiki sekolah kerana pendidikan berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

“Merekalah yang sepatutnya mengeluarkan wang. Ini hanyalah tawaran daripada kerajaan negeri,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung isu tersebut kerana menteri daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini juga telah melawat negeri itu dan menyedari tentang keadaan sekolah yang teruk.

“Mereka meluahkan rasa simpati, tetapi lupa lupa tentangnya selepas meninggalkan negeri ini,” katanya.

“Kami berharap kerajaan PH akan mengambil tindakan yang berbeza dan menimbang semula keputusannya,” katanya.