Rampas jika ada bukti, kata bekas MB nafi beri tanah pada kroni

Mohamad Hasan yang pernah menjadi menteri Besar Negeri Sembilan selama 14 tahun berkata, exco negeri yang meluluskan permohonan tanah, bukannya beliau.

SEREMBAN: Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan menafikan beliau pernah menyalahgunakan kuasa untuk meluluskan tanah secara peribadi kepada kroninya sepanjang 14 tahun memimpin negeri itu.

“Saya tidak risau apa-apa. Saya tahu apa saya buat dulu kerana saya katakan tadi, saya tak pernah meluluskan tanah secara peribadi atas nama menteri besar.

“Semuanya diluluskan oleh pihak berkuasa negeri, iaitu melalui exco. Kalau exco buat keputusan, itu keputusan pihak berkuasa negeri, bukannya saya,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN Rantau hari ini.

Calon BN itu mengulas dakwaan Speaker DUN Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar yang beliau pernah memberi tanah kepada kroninya ketika menjadi menteri besar dan ada di kalangan penerima itu tidak membayar cukai tanah selepas mendapat tanah berkenaan.

“Kita bincang dengan Yayasan (Negeri Sembilan) agar rampas (tanah) dan bagi pada mereka yang benar-benar boleh beri hasil pulangan (kepada kerajaan negeri),” katanya dalam satu ceramah di Kampung Mambau, malam tadi.

Hari ini, Mohamad mencabar kerajaan negeri merampas tanah kerajaan yang didakwa diberikan kepada kroninya pada zaman pemerintahan BN, jika terbukti tuduhan Zulkefly adalah benar.

“Saya harap dia buatlah ya. Jangan pakai cakap saja. Buat, rampaslah tanah-tanah yang dia nak rampas.

“Kerajaan boleh buat apa sahaja, tetapi mesti faham Kanun Tanah Negara. Tidak ada sesiapa yang mempunyai hak di atas sesuatu bidang tanah, melainkan tuan punya tanah.

“Tuan punya tanah kalau dah nama dia, nama dia. Kerajaan negeri tak boleh sewenang-wenangnya merampas tanah.”

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, kerajaan negeri perlu membayar pampasan kepada pemiliknya, jika ia mahu mengambil semula tanah milik individu.