Rampasan kuasa seperti di Mesir boleh berlaku jika rakyat dihasut, kata Khalid

Khalid Samad.

KUALA LUMPUR: Khalid Samad mempertahankan alasan Putrajaya menarik diri daripada Statut Rom minggu lepas, mengatakan rampasan kuasa seperti yang menjatuhkan kerajaan Mesir pertama yang dilantik secara demokrasi pada 2013 boleh berlaku jika rakyat dihasut pihak tertentu.

“Seperti yang anda tahu, polis dan tentera secara asasnya institusi berasaskan Melayu. Sebab itu sangat penting masalah ini ditangani dengan berhati-hati,” kata menteri wilayah persekutuan kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah berkata Malaysia menarik diri daripada perjanjian antarabangsa yang ditandatanganinya bulan lepas kerana bimbang “deep state” dan “aparatus tertentu” memulakan rampasan kuasa.

Mengambil Mesir sebagai contoh, Khalid berkata kerajaan sekarang dikuasai “deep state” di mana rangkaian kerajaan rahsia beroperasi secara bebas daripada kepimpinan politik negara.

Beliau berkata beberapa isu boleh digunakan untuk memprovokasi orang ramai sebelum mereka dieksploitasi oleh “deep state” itu.

“Wajar bagi kita fikir apabila berlaku perubahan dalam kerajaan, terutama di negara seperti Malaysia yang tidak pernah berlaku sebelum ini, ada pihak yang tidak bersetuju dengan perubahan dan mungkin wujud sebagai entiti yang teratur dalam pentadbiran,” katanya.

Sementara itu, mengulas dokumen yang didakwa dikemukakan oleh beberapa ahli akademi kepada raja-raja Melayu tentang “bahaya” Statut Rom, khalid berkata perlu ada debat terbuka mengenai perkara itu.

Khalid berkata pakar daripada Eropah perlu diundang bagi menjelaskan perjanjian itu kepada orang ramai bagi menyahkan ketakutan.

“Kita tahu institusi diraja diheret masuk, dan kita perlu tangani isu ini dengan berhati-hati.”

Ditanya mengenai kemungkinan kerajaan akan menandatangani Statut Rom di masa depan, Khalid berkata ia bergantung kepada kefahaman orang ramai mengenai perjanjian itu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom, susulan bantahan daripada Istana Johor, iaitu daripada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.