Saya maksudkan laporan kewangan LTAT, bukan laporan audit, kata Mat Sabu

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini membetulkan laporan media yang memetiknya sebagai berkata laporan audit Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tahun lepas adalah satu pembohongan kerana tidak tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Mohamad sebenarnya memaksudkan laporan kewangan LTAT, bukannya laporan audit seperti yang dilaporkan.

“Merujuk kepada ceramah saya di Rantau, Negeri Sembilan, semalam, saya ingin menjelaskan bahawa saya sebenarnya memaksudkan laporan kewangan LTAT, bukannya laporan audit, katanya dalam kenyataan.

“Laporan kewangan sedang dalam proses disediakan oleh LTAT dan akan dikeluarkan dalam jangka masa terdekat.

“Segala kekeliruan amat dikesali,” katanya dalam kenyataan 3 perenggan itu.

Media semalam melaporkan Mohamad, dalam satu ceramah membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau berkata, audit yang diisytihar pada 2018 adalah satu pembohongan dan menjangka satu laporan audit khas LTAT akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Audit yang diisytihar pada 2018 adalah bohong. Siapa dalam Tabung Angkatan Tentera? Melayu ke Cina? Siapa curi? Siapa tipu? Ini kamu curi, kamu rompak, kamu tuduh Cina,” katanya dalam ceramah di Kampung Mambau.

Pada 30 Mac, beliau dilapor berkata, dividen LTAT belum diumumkan kerana terdapat banyak akaun yang tidak menunjukkan kedudukan kewangan sebenar lembaga itu bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Katanya, pengumuman itu akan mengambil masa kerana ada banyak perkara yang ditegur Jabatan Audit Negara secara serius mengenai keuntungan sebenar yang bermasalah.

“Jadi, kami perlu membuat semakan terlebih dahulu. Selain itu, kementerian saya juga antara kementerian yang disiasat bawah Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Ambrin Buang,” katanya menurut laporan itu.