Selepas puluhan tahun berseteru, Pemuda PAS dan BN kini sepentas

Ketua Pemuda PAS (kanan) dan sayap Pemuda parti komponen BN bersama calon BN bagi PRK Rantau, Mohamad Hasan.

SEREMBAN: Selepas lebih 60 tahun menjadi seteru politik Umno dan puluhan tahun tidak sebulu dengan perjuangan komponan Barisan Nasional (BN), PAS hari ini dilihat berkongsi pentas dengan mereka.

Dalam satu ceramah di Kampung Sendayan di sini, malam tadi, PAS buat pertama kalinya berkongsi pentas dengan Umno, MCA dan MIC melalui sayap Pemudanya.

PAS diwakili ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Asyraf Wajdi Dusuki mewakili Pemuda Umno, MCA oleh Nicole Wong Siaw Ting dan MIC oleh R Thinalan.

Lebih 500 orang, kebanyakannya penyokong BN, hadir mendengar ceramah bagi menyokong calon BN, Mohamad Hasan dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang sedang berjalan.

Hadir sama ialah calon BN, yang juga pemangku presiden Umno dan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad atau Tok Mat.

Asyraf Wajdi ketika berucap menzahirkan rasa bangga dan terharu apabila 4 pemimpin utama Pemuda dapat dihimpunkan di atas satu pentas, sekali gus menganggapnya sebagai sejarah besar.

“Siapa sangka, (wakil) Pemuda Umno, MCA dan MIC serta PAS boleh bersama buat pertama kali. Ini tentunya betul-betul mengerikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Beliau orang yang paling takut apabila adanya penyatuan antara Umno dengan PAS.

“Kita kena terus bersama dan bekerjasama dengan lebih kuat. Kini ada 3 parti utama dalam BN, lepas ini kerjasama pula dengan PAS. Dalam pilihan raya umum ke-15 kita akan rampas semula Putrajaya dan kembali memimpin rakyat dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama rapat komponen BN dengan PAS itu, sekali gus menafikan dakwaan bahawa gabungan tersebut, khususnya kerjasama Umno dan PAS, merupakan perisytiharan perang terhadap orang bukan Melayu dan akan membawa pentadbiran ala Taliban ke Malaysia.

Sebahagian hadirin yang hadir pada sesi ceramah yang menghimpunkan 4 ketua Pemuda PAS dan parti komponen BN di kampung Sendayan malam tadi.

Ketua Pemuda PAS, Khalil Abdul Hadi pula berkata, kejayaan menghimpunkan 4 ketua Pemuda BN-PAS di atas satu pentas yang sama adalah isyarat kepada PH bahawa anak muda sudah mula menolak pakatan politik itu.

“Menerusi agenda penyatuan umat ini, kami daripada PAS memberikan komitmen sepenuhnya dalam memastikan perpaduan dan muafakat politik antara PAS dan BN terus utuh.

“Ia bagi menyelamatkan negara kita, mengalahkan PH serta membawa kita memenangi Putrajaya pada pilihan raya umum yang akan datang,,” katanya.

Khalil berkata, PAS tidak pernah mengamalkan politik perkauman kerana perti itu memberi kebebasan kepada semua kaum untuk mengamalkan cara hidup mereka.

“PAS tadbir Kelantan sejak 1990, orang bukan Islam diberi kebebasan beragama, diberi hak dan hidup dalam keadaan harmoni. Begitu juga di Terengganu. Lihat sendiri pegawai khas menteri besar adalah orang bukan Melayu, seorang Cina dan seorang India. Di Kelantan juga begitu, pegawai menteri besarnya juga ada orang bukan Melayu,” katanya.

Bagi ketua Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting, kehadiran bersama Pemuda Umno, MCA, MIC dan PAS merupakan petanda bahawa anak muda sudah mula sedar tentang kegagalan PH menangani masalah golongan itu.

“Kita semua kena kerja kuat. Paling penting kita kena saling bekerjasama. PH kini mula berasa tekanan. Dulu kita berpecah sedikit, mereka kata kita macam-macam, tapi sekarang kita sudah bersama, mereka sudah takut.

“Kini kita ada satu objektif utama, iaitu membantu calon BN memenangi kerusi DUN Rantau dan dalam 2 atau 3 tahun lagi untuk menang dalam pilihan raya umum. Anak muda kena bangkit dan saya berharap saluran anak muda dalam PRK kali ini dapat memihak kepada BN,” katanya.

Menurut ketua Pemuda MIC, R Thinalan, kehadirannya dalam program itu juga adalah tanda bahawa MIC mengalu-alukan agenda penyatuan umat antara Umno dengan PAS, selain menerima kehadiran PAS yang kini bekerjasama dengan BN, terutama dalam PRK Rantau.

Untuk rekod MCA dan MIC sebelum ini menentang agenda Islam PAS, termasuk dalam isu usul rang undang-undang (RUU) Akta 355 bagi menambah kuantum hukuman Mahkamah Syariah.

Selain ceramah yang mempertemukan 4 pimpinan sayap Pemuda PAS dan BN itu malam tadi, kerjasama parti pembangkang itu dijangka mengadakan satu lagi ceramah yang menghimpunkan pimpinan utama PAS dan BN di atas satu pentas di sini, malam ini.

Antara pimpinan utama PAS dan BN yang dijangka hadir ialah Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa; Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker, Timbalan Mursyidul Am PAS, Ahmad Yakob dan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan.

Pemimpin Makkal Sakti dan IPF juga dijadualkan hadir.

PRK DUN Rantau pada 13 April ini merupakan pertandingan 4 penjuru antara calon BN, Mohamad Hasan dengan calon PH, Dr S Streram dan 2 calon Bebas, Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.