Speaker Negeri Sembilan dakwa Tok Mat beri tanah pada kroni ketika jadi MB

Zulkefly Mohamad Omar berjanji akan mendedahkan kroni Mohamad Hasan yang didakwa mendapat tanah daripada bekas menteri besar Negeri Sembilan itu. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Speaker DUN Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar mendakwa calon Barisan Nasional, Mohamad Hasan pernah memberi tanah kepada kroninya ketika menjadi menteri besar negeri itu.

Beliau juga mendakwa ada di kalangan penerima itu yang tidak membayar cukai tanah selepas mendapat tanah berkenaan.

“Dalam 2 atau 3 hari lagi, kita akan dedahkan mana-mana (pihak) yang dapat tanah.

“Kita bincang dengan Yayasan (Negeri Sembilan) agar rampas (tanah) dan bagi pada mereka yang benar-benar boleh beri hasil pulangan (kepada kerajaan negeri),” katanya dalam satu ceramah di Kampung Mambau, Rantau, malam tadi yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat pernah memimpin Negeri Sembilan selama 14 tahun, sejak 2004.

Zulkefly juga percaya Mohamad tidak mampu menyelesaikan isu tanah yang dihadapi penduduk setempat.

Sebelum ini, Zulkefly dilaporkan berkata, masalah tanah yang dihadapi peneroka Felda Sendayan sejak sekian lama gagal diselesaikan kerajaan BN.

Mohamad bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan berkata, kemelut tanah di Felda Sendayan berjaya diselesaikan kerajaan negeri pimpinannya dahulu menerusi skim yang ditawarkan kepada peneroka terbabit.