Tarik diri Statut Rom, kerajaan tidak belajar daripada episod ICERD, kata NGO

Kumpulan yang membantah ICERD antara lain berkata konvensyen tersebut akan menghakis kedudukan Raja-raja Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera.

PETALING JAYA: Lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoal keputusan Putrajaya menarik diri daripada triti yang menjadi tonggak Mahkamah Jenayah Antarbangsa (ICC) dengan berkata, langkah itu bertentangan dengan pendirian tegas Malaysia terhadap jenayah dan genosid kerajaan yang berlaku di negara lain.

“Penarikan diri daripada ICC oleh Malaysia, sebuah negara yang sentiasa berdiri teguh membela kumpulan minoriti yang menderita di negara seperti Myanmar, Bosnia dan Palestin, berlawanan sama sekali dengan pendirian tegasnya berhubung penganiayaan masyarakat Rohingya.

“Kita tidak mempunyai asas moral dan instrumen antarabangsa, hatta untuk berkata bahawa jenayah kemanusiaan telah berlaku,” kata satu kenyataan bersama 22 kumpulan hak asasi manusia, termasuk persatuan yang mewakili kepentingan Orang Asli, wanita, migran, alam sekitar dan sekumpulan profesor universiti.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penarikan diri Malaysia daripada Statut Rom yang melahirkan ICC dengan berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhadapan tekanan pihak-pihak tertentu berikutan keputusannya untuk meratifikasi statut berkenaan bulan lepas.

Ini berlaku selepas istana Johor secara terbuka mempersoalkan triti tersebut dengan berkata, ia boleh menghakis kedudukan Raja-raja Melayu dan mndedahkan mereka kepada bidang kuasa undang-undang asing.

Kumpulan 22 persatuan itu berkata, ICC merupakan “garis pembelaan terakhir” untuk mangsa genosid dan jenayah perang, sekali gus mempersoalkan sikap Putrajaya yang “mudah mengalah kepada suara pihak-pihak yang berkepentingan”.

“Sukar dipercayai dan sangat memualkan apabila adanya individu atau kumpulan yang menentang dan menghentikan usaha mulia ni,” kata mereka, dengan menambah kerajaan kerap membuat pusingan U berhubung isu hak asasi manusia.

“Walaupun memiliki jentera kerajaan yang boleh digunakannya, kerajaan PH memutuskan untuk menyerahkan aspirasi Malaysia Baru kepada provokasi pihak-pihak yang tidak matang, bukannya menjelaskan naratif sebenar kepada rakyat” tambahnya.

Statut Rom merupakan triti antarabangsa ke-2 yang tidak ditandatangani oleh Putrajaya sejak PH menguasai kerajaan.

Tahun lepas, kerajaan mengumumkan bahawa ia tidak akan menandatangani Konvensyen Antarbangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) berikutan bantahan besar-besaran pertubuhan dan kumpulan orang Melayu.

Kumpulan 22 itu berkata, Putrajaya gagal mengambil pelajaran daripada kontroversi ICERD kerana lambat menjawab hujah yang menolak Statut Rom.

“Tidak harus ada lagi penarikan ratifikasi, undang-undang atau polisi disebabkan prejudis politik agama dan kaum,” kata mereka.