Teo nafi kedudukan pensyarah bantah Statut Rom akan dibincang

Teo Nie Ching.

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching nafi kementeriannya akan membincangkan kedudukan 4 pensyarah berhubung dokumen kepada raja-raja Melayu mengenai “bahaya” Statut Rom.

Teo menjelaskan kenyataannya tersalah lapor kerana dia sebenarnya merujuk kepada kenyataan kumpulan aktivis pelajar yang mendedahkan imej dokumen itu.

“Semasa ditanya di Parlimen, jawapan saya adalah tiada perbincangan di peringkat KPM setakat ini tentang perkara yang dibangkitkan oleh 9 orang mahasiswa terhadap 4 orang akademik.

“Saya minta masa supaya perkara yang dibangkit oleh mahasiswa boleh dikaji atau dibincang secara menyeluruh,” katanya kepada FMT.

Kumpulan tersebut, dalam kenyataan selepas pendedahan imej dokumen itu, yang menurut mereka mungkin bertanggungjawab menggagalkan langkah kerajaan perakui Statut Rom, mahu Statut Rom dibincangkan dan didebatkan oleh masyarakat.

Terdahulu, mereka menggesa Kementerian Pendidikan supaya tidak berkelakuan seperti kerajaan dulu terhadap 4 pensyarah berkenaan, selepas Teo dilapor berkata kementeriannya akan membincangkan kedudukan mereka.

Prof Rahmat Mohamad, Prof Madya Shamrahayu Ab Aziz, Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi dikaitkan dengan penyediaan dokumen yang dikatakan dikemuka kepada Persidangan Raja-raja pada 2 April.