Veteran tentera sokong Putrajaya tarik diri Statut Rom, tapi beri amaran rampasan kuasa

Mohamed Arshad Raji berkata, sebarang cubaan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik atau perdana menteri melalui cara jahat atau secara paksaan bertentangan hasrat rakyat.

PETALING JAYA: Persatuan Patriot Kebangsaan menyokong keputusan Putrajaya menarik diri daripada Statut Rom, tetapi menyifatkan bantahan terhadap ratifikasi perjanjian itu mempuyai “niat tersembunyi” untuk menjatuhkan kerajaan.

Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji berkata, pihaknya bersetuju dengan kumpulan G25 yang rundingan lanjut perlu diadakan sebelum perkara itu dibawa ke Parlimen.

“Sebarang paksaan untuk kerajaan yang dipilih secara demokratik atau perdana menteri berundur melalui cara jahat atau secara paksa bertentangan hasrat rakyat.

“Jika keadaan tidak dapat dipertahankan, Patriot yakin ketua polis negara atau ketua pasukan pertahanan akan kekal neutral dan bertindak untuk kebaikan kolektif negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, Menteri Luar, Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, Malaysia menarik diri daripada ratifikasi Statut Rom dalam langkah “politik” kerana bimbang berlaku cubaan rampasan kuasa yang didorong kuasa di sebalik tabir.

Beliau turut menyentuh kemungkinan isu itu dimanipulasi sehingga menyebabkan orang ramai mengadakan protes jalanan.

Arshad mempersoalkan sejauh mana “penunjuk perasaan jalanan” yang menentang Statut Rom memahami triti itu dan “bagaimana ia mencabar Perlembagaan kita dan kedudukan raja-raja Melayu”.

“Seperti kebanyakan kes kempen jahat. Pertama, kumpulan penunjuk perasaan upahan digerakkan. Atau dalam modus operandi biasa pihak pembangkang, tukang putar belit membuat cerita rekaan.

“Seterusnya, individu atau ahli politik yang menjadi dalang memulakan kekecohan, mengambil kesempatan daripada kumpulan penunjuk perasaan atau cerita rekaan.”

Katanya, ahli akademik yang memberi “tafsiran sempit tidak memahami apa yang diperlikan sesuatu peperangan”.

“Walaupun pandangan mereka yang tidak diminta secara rasmi itu adalah betul, jika berlaku peperangan, pegawai atau pasukan keselamatan di barisan depan, rakyat dan seluruh negara yang akan musnah terlebih dahulu.

“Mereka akan mati kerana melindungi raja dan negara.”