Ada kekeliruan tentang janji mansuh Akta MKN, kata Anwar

KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan tindakan Pakatan Harapan tidak memansuhkan Akta Majlis Keselamatan Negara, mengatakan ada kekeliruan mengenai janji itu dalam manifesto pilihan raya umum ke-14.

Terdahulu di Dewan Rakyat, kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2019 untuk bacaan kali pertama.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menjelaskan PH sebenarnya tidak berhajat untuk memansuhkan Akta MKN sepenuhnya, sebaliknya hanya mahu mengubah kandungannya.

“Ada kekeliruan. Kita tidak menentang akta tersebut tetapi kuasa akta itu iaitu kuasa yang diberikan pada perdana menteri ketika itu,” katanya kepada pemberita ketika bertemu pelajar Institut Pendidikan Guru di Cheras petang tadi.

Kerajaan dikritik apabila mengumumkan Akta MKN hanya akan disemak, kerana janji ke-27 dalam manifesto PH menyatakan ia berjanji akan menghapuskan undang-undang yang zalim, termasuk Akta MKN.

Kerajaan gabungan itu bagaimanapun hari ini membentangkan pindaan, yang antaranya mengusulkan kuasa mengisytihar zon keselamatan dipindahkan daripada perdana menteri kepada Agong atas nasihat MKN.

Perdana menteri kekal sebagai pengerusi MKN.