Anda tahu mana nak cari saya, TMJ beritahu PM

Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata dia berhak memberi pendapat dan bertanggungjawab atas kenyataannya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertanggungjawab terhadap semua kenyataannya, selepas perdana menteri berkata tiada orang terkecuali daripada tindakan undang-undang jika mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan.

“Anda tahu di mana nak cari saya,” kata Tunku Mahkota Johor di Twitter hari ini.

Tunku Ismail sedia dikenakan tindakan kerana “mempertegakkan Perlembagaan, raja-raja Melayu dan Islam.”

“Macam rakyat biasa saya berhak tanya soalan dan beri pendapat. Saya bersedia. ‘Finish what you start’,” katanya.

Perkembangan ini susulan jawapan perdana menteri kepada pemberita mengenai kenyataan-kenyataan Tunku Ismail terhadap kerajaan pada satu sidang media di Parlimen hari ini.

Mahathir berkata semua rakyat boleh mengkritik kerajaan selagi tidak melanggar undang-undang.

“Kalau buat kenyataan yang dianggap ‘sedition’ (hasutan), kita akan ambil tindakan. Tiada siapa terkecuali daripada tindakan undang-undang,” katanya.

Tunku Ismail sebelum ini mempersoalkan kerajaan berhubung keputusan meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), yang menurut putera raja itu akan mengancam kedudukan Yang di-Pertuan Agong, Melayu dan Islam.

Mahathir kemudian mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom bagi mengelak kekeliruan yang dicipta oleh orang tertentu “yang mahu bebas memukul orang lain”.

“Jika dia pukul orang lagi, saya akan hantar polis untuk menangkapnya. Saya tidak peduli siapa dia,” katanya.