Berdasarkan kecederaan, Adib mungkin ditarik keluar, kata pakar forensik

Dr Shahrom Abd Wahib.

SHAH ALAM: Seorang pakar forensik memberitahu inkues ke atas kematian Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini berkata anggota bomba itu mungkin ditarik keluar dari tempat duduk hadapan van bomba berdasarkan kecederaan pada tubuh.

Dr Shahrom Abd Wahib, yang pernah berkhidmat di Jabatan Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, pendapat itu berdasarkan luka-luka sagat di belakang pinggang tubuh Adib dan butang 1, 2 dan 4 pada pakaiannya terputus.

“Hal ini mencadangkan mangsa telah ditarik keluar dari tempat duduk hadapan,” katanya.

Shahrom dipanggil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai saksi pakar untuk membantu inkues Adib.

Beliau turut mengemukakan beberapa video lakonan semula kejadian yang dijalankan anggota bomba kepada Mahkamah Koroner.

Shahrom berkata sebahagian tubuh Adib mungkin berada antara pintu tempat duduk hadapan dengan van, dan daun pintu diterajang menyebabkan luka sagat dan patah tulang-tulang rusuk di bahagian atas dada kanan, dan lebam pada paru-paru kanan.

Beliau berkata daun pintu sekali lagi diterajang menyebabkan 2 lebam pada bahagian hadapan atas lengan kanan.

Bahagian belakang kiri badan mangsa juga ditolak dengan kuat, mengenai bahagian sisi menegak daun pintu, menyebabkan patah tulang-tulang rusuk kiri posterior, dan lebam paru-paru kiri.

“Mangsa mati akibat kecederaan parah paru-paru kiri dan kanan akibat hentakan-hentakan trauma tumpul.

“Hentakan-hentakan trauma tumpul ini bukan akibat perbuatan diri sendiri tetapi akibat perbuatan seorang atau lebih orang yang lain,” katanya.

Beliau berkata gambar yang diambil dalam pemeriksaan forensik menunjukkan kecederaan pada dada sebelah kanan Adib yang menyerupai segi tiga, serta kecederaan pada bahagian atas tangan kanan.

“Luka sagat bercorak berpadanan dengan bentuk ruang tombol getah di bahagian hujung pintu,” katanya.

Shahrom berkata terdapat kesan seret pada belakang seluar mangsa, “menunjukkan mangsa telah ditarik, heret seret di atas permukaan jalan raya”.

Beliau berkata seluruh kejadian itu boleh berlaku dalam tempoh 5 hingga 8 saat, apabila lori bomba mengundur ke belakang dan terkena van bomba.

“Niat si pembuat saya tidak mahu terlibat. Saya biar mahkamah putuskan,” katanya.

Sebelum ini, doktor forensik daripada Hospital Kuala Lumpur memberitahu inkues bahawa Adib tidak ditarik daripada van bomba atau diserang dalam rusuhan kuil Seafield pada 27 November 2018.

Pendengaran akan bersambung esok di depan Koroner Rofiah Mohamad.