Biar ahli akademik jawab mengenai Statut Rom, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata ahli akademik yang dirujuk Majlis Raja-raja perlu mempunyai wacana yang sihat untuk menjelaskan isu Statut Rom.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim menggesa ahli akademik yang dirujuk Majlis Raja-raja yang didakwa mungkin bertanggungjawab menggagalkan langkah kerajaan menandatangani Statut Rom, tampil memberi penjelasan mengenainya.

Beliau juga berharap isu tersebut diselesaikan dan dibincangkan dengan baik menerusi wacana yang sihat.

“Mereka perlu ada wacana yang sihat. Biar akademik kita jawab,” katanya di lobi Parlimen.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai rumusan eksekutif mengenai Statut Rom oleh 4 ahli akademik yang didakwa berat sebelah dan tidak menggambarkan kejujuran ahli akademik.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching menafikan kementeriannya akan membincangkan kedudukan 4 pensyarah terbabit.

Teo menjelaskan kenyataannya tersalah lapor kerana beliau sebenarnya merujuk kepada kenyataan kumpulan aktivis pelajar yang mendedahkan imej dokumen itu.

Kumpulan tersebut, dalam kenyataan selepas pendedahan imej dokumen itu, yang menurut mereka mungkin bertanggungjawab menggagalkan langkah kerajaan perakui Statut Rom, mahu Statut Rom dibincangkan dan didebatkan oleh masyarakat.

Antara ahli akademik yang dinamakan ialah Prof Rahmat Mohamad, Prof Madya Shamrahayu Ab Aziz, Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi dikaitkan dengan penyediaan dokumen yang dikatakan dikemuka kepada Persidangan Raja-raja pada 2 April lalu.

Jumaat lalu, Mahathir mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom yang ditandatangani 4 Mac lalu.