G25 menang saman, mahkamah batal pengharaman buku

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan perintah pengharaman sebuah buku bertajuk, “Breaking The Silence: Voices Of Moderation – Islam In A Constitutional Democracy”.

Hakim Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh G25 (Kumpulan 25) untuk mencabar perintah pengharaman itu dan mengetepikan keputusan menteri yang mengharamkan buku itu.

Hakim dalam keputusannya berkata menteri mesti menunjukkan asas keputusan untuk mengharamkan buku itu sebagaimana dinyatakan dalam perintah berkenaan.

“Ia tidak disebut dalam afidavit menteri, kecuali mereka merujuk pendapat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” kata hakim.

Lima jurucakap G25 terdiri Noor Farida Mohd Ariffin, 73; Zainuddeen Abdul Bahari, 75; Mohd Sheriff Mohd Kessim, 80; Latifah Osman Merican, 69; dan Asma Abdullah, 71, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada Oktober 2017, dan menamakan menteri dalam negeri pada masa itu, Ahmad Zahid Hamidi sebagai responden.

Pada 9 Januari 2018, G25 berjaya memperoleh kebenaran untuk semakan semula kehakiman berhubung pengharaman ke atas buku berkenaan.

Mereka diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar, memohon perintah certiorari bawah Perintah 53, Perkara 8 (2) Peraturan Mahkamah 2012 untuk membatalkan perintah pengharaman itu yang ditandatangani oleh responden pada 27 Julai 2017.

Buku itu yang diterbitkan pada Disember 2015, diisytiharkan sebagai tidak sah oleh Kementerian Dalam Negeri pada 27 Julai 2017.

Responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Jamilah Jamil.